Teknik berkesan untuk mudah menghafal al-Quran

Islam 09 Mac 2021 Aimi Azhary
Aimy Azhary
Teknik berkesan untuk mudah menghafal al-Quran
Teknik berkesan untuk mudah menghafal al-Quran © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Setiap muslim pasti pernah terdetik di dalam hatinya untuk menghafal Al-Quran walaupun sedikit. Namun, tidak ramai yang tahu mengenai teknik yang betul sehingga muncul rasa malas atau bosan terkandas di pertengahan jalan.

Artikel ini akan membincangkan tentang teknik berkesan lagi efektif supaya kita mudah menghafal Al-Quran.

Syarat Utama: Ikhlas

Ikhlas merupakan perkataan Arab yang bermaksud ‘mengosongkan, menyucikan dan membersihkan’. Seorang penghafaz al-Quran perlulah mengosongkan hatinya daripada tujuan-tujuan keduniaan dan hanya mengharap reda Allah semata-mata.

Teknik untuk mudah menghafal al-Quran

Berdoa dengan penuh pengharapan

Kita berdoa kerana memahami bahawasanya manusia tidak mempunyai daya dan kekuatan sedikit pun untuk mengingat sesuatu melainkan dengan izin serta pertolongan Allah Taala.

Hanya Allah SWT yang berkuasa mengekalkan atau menghilangkan hafalan kita.

Berguru

Kitab al-Quran merupakan sebuah mukjizat agung yang diturunkan kepada Nabi SAW, kemudian dihafaz oleh generasi demi generasi sehingga sampai ke hari ini. Oleh itu, seseorang yang ingin menghafaz al-Quran secara itqan (tekun) hendaklah mencari guru al-Quran yang baik agama dan bacaannya.

Dunia serba moden pada hari ini telah banyak memudahkan kita untuk mencari tenaga pengajar al-Quran. Di samping itu, kita juga boleh memilih sama ada ingin belajar secara maya atau bertemu mata dan lutut dengan mereka.

Mendengar bacaan Qari

Teknik ini akan menjadikan kita tekun membaca al-Quran, kerana bergantung kepada tulisan-tulisan mushaf sahaja akan terdedah kepada beberapa ralat dan kesalahan, sama ada daripada syarikat penerbitan ataupun si penghafaz sendiri.

Kita juga boleh menjadikan bacaan imam-imam yang masyhur seperti Syeikh Mishary Rashid Al-Afasy, Syeikh Muhammad Jibrel dan lain-lain sebagai rujukan serta menjadikannya sebagai halwa telinga di waktu lapang.

Wirid harian

Pepatah Arab ada menyebutkan:

“Sesuatu yang diulang-ulang akan teguh.”

Ayat yang dihafal perlulah diulang setiap hari. Jika kita perasan,kita tidak menggunakan tenaga yang banyak ketika membaca al-Fatihah dan surah-surah pendek yang lain, kerana surah tersebut sudah menjadi wirid harian kita.

Memahami ayat yang dibaca

Kita akan menjadi lebih tekun dalam menghafaz al-Quran sekiranya kita memahami ayat yang dibaca dan mengetahui kisah-kisah di sebaliknya.

Teknik ini pasti akan menyebabkan ayat itu membekas ke dalam jiwa kita lalu sukar untuk dilupakan.

Qiamullail dengan apa yang telah dihafal

Ketika qiamullail, kita akan dipayungi para malaikat yang berlumba-lumba mendoakan kebaikan kepada kita, apatah lagi apabila kita menghiasi malam itu dengan kalam Allah yang telah dihafaz.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Muzzammil, Ayat 6:

“Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”

Menyedapkan bacaan

Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Memperindah dan menyedapkan bacaan akan meringankan minda dan akal, serta menghindari suasana bosan ketika menghafaz al-Quran kerana fitrah manusia suka kepada sesuatu yang indah.

Sedikit itu lebih baik

Tabiat yang perlu dihindari adalah menghafal sejumlah besar ayat al-Quran kerana semangat yang tinggi di permulaan. Kemudian, menghadapi kesukaran untuk meneruskan hafalan, lalu luntur semangatnya dan akhirnya berhenti.

Ingatlah! Sedikit yang berterusan itu lebih baik daripada banyak yang terputus.

Teknik sekolah hafazan

Kebanyakan madrasah huffaz menggunakan teknik menghafal satu muka surat sehari, kecuali hari Jumaat dan menjadikan hari berkenaan untuk mengulangkaji hafazan.

Satu muka dibahagikan kepada lima kali waktu solat, iaitu tiga baris setiap kali selepas solat. Mereka tidak akan berpindah ke baris seterusnya melainkan setelah menghafal baris semasa.

Inilah teknik berkesan untuk mudah menghafal al-Quran dan ia telah terbukti keberkesanannya. Sekiranya kita konsisten, kita hanya memerlukan kurang dua tahun untuk menghafal al-Quran.

Semoga Allah SWT menjadikan kita dekat dengan al-Quran lalu ia datang kepada kita sebagai syafaat di hari Akhirat kelak.