Pendapat 01-Jun-2020

Teknik pemikiran sentiasa songsangkan

MAS
Kolumnis
Songsang
Songsangkan, sentiasa songsangkan © Anton Novozhilov | Dreamstime.com

Huzaifah bin al-Yaman r.a. merupakan salah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW yang sangat dipercayai baginda. Kemampuan beliau untuk menyimpan rahsia menyebabkan baginda mengamanahkan beliau dengan nama-nama orang munafik dan tugas untuk mengawasi gerak-geri mereka.

Beliau turut memiliki sudut pandang yang sangat unik. Dalam sahih Bukhari, diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman , katanya: “Orang sering bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai kebaikan, tetapi aku telah bertanya tentang kejahatan kerana aku takut ia akan menimpa diriku.” Huzaifah berpendapat punca kebaikan dalam kehidupan mudah dikenal pasti untuk mereka yang menginginkannya tetapi kejahatan sering memperdaya dan sukar untuk dilihat.

Demikian juga perihal seorang ahli matematik Jerman, Carl Jacobi  yang masyhur dengan teori fungsi elips (eliptic function). Beliau berupaya menyelesaikan masalah matematik yang sukar dengan menggunakan strategi ‘man muss immer umkehren’ yang bermaksud ‘songsangkan, sentiasa songsangkan.’ Jacobi percaya antara kaedah terbaik untuk mendapat kejelasan fikiran (clarity of mind) adalah dengan menyatakan semula masalah dalam bentuk songsang dan beliau dapati penyelesaian akan lebih mudah dicapai.

Sebagai contoh, setiap pasangan pastinya mendambakan perkahwinan yang bahagia. Dengan strategi penyongsangan, kenal pasti punca atau ciri-ciri yang toksik dalam perhubungan serta penyebab berlakunya penceraian. Kecurangan. Masalah kewangan. Kurang komunikasi. Kerap bertengkar. Jangkaan yang tidak realistik. Tiada keintiman. Ketagihan arak. Penderaan fizikal atau mental. Campur tangan pihak ketiga. Justeru itu, hindarkan perkara-perkara tersebut daripada berlaku untuk memastikan rumah tangga yang aman dan bahagia.

Seni berfikir sedemikian dikenali sebagai penyongsangan. Kaedah ini mendorong kita untuk menimbangkan perkara yang bertentangan dengan perkara sebenar yang kita mahukan. Penyongsangan merupakan teknik pemikiran yang ampuh kerana ia memaksa kita untuk memberi perhatian kepada kesilapan dan halangan yang mungkin tidak ketara pada pandangan pertama.

Oleh itu, penyongsangan digunakan bukanlah untuk mendapatkan panduan secara langsung. Daripada kita mempersoalkan bagaimana untuk melakukan sesuatu, alihkan fokus kepada bagaimana untuk tidak melakukan lawan kepada perkara berkenaan. Penyongsangan mengajar kita perkara yang perlu dielakkan. Agak janggal bukan?

Pemikiran ini mampu diaplikasikan dalam banyak aspek kehidupan. Sebagai contoh, kita semua berkeinginan untuk melakukan dan menyelesaikan lebih banyak perkara dalam tempoh masa yang lebih singkat. Ya, kita semua ingin jadi lebih produktif. Menggunakan strategi penyongsangan, kita mungkin perlu bertanyakan soalan berikut: Apakah perkara yang menjamin kita pasti akan membuang masa atau tidak akan dapat fokus untuk menyiapkan sesuatu tugasan? Menonton Netflix secara keterlaluan (binge watching). Penggunaan media sosial. Memeriksa telefon pintar setiap kali menerima notifikasi atau setiap 10 minit.  Contoh jawapan kepada persoalan ini boleh membantu kita mengenal pasti gangguan dan kemudian bertindak untuk mencegahnya daripada berlaku.

Seorang pemimpin pula boleh menyoal diri sendiri, apa yang perlu dilakukan jika ingin menjadi pemimpin yang teruk. Yakin bahawa dirinya paling hebat dalam organisasi tersebut. Sentiasa betul. Tidak menerima pandangan orang bawahan. Tidak melaksanakan perkara yang diucapkan. Memilih orang kanan yang hanya pandai mengampu. Tidak belajar daripada kesilapan. Tidak mampu menguruskan atau mengelakkan konflik. Oleh itu, untuk menjadi pemimpin hebat, cuba hindari perkara-perkara tersebut.

Dalam perihal kewangan dan pelaburan, kaedah ini juga dipopularkan oleh Charlie Munger, rakan kongsi  kepada antara orang terkaya di dunia, Warren Buffett dari syarikat Berkshire Hathaway. Menurut Munger, cara terbaik untuk mencapai kejayaan adalah dengan mengelakkan kegagalan. Beliau turut berkongsi resipi pencapaian hebat Berkshire Hathaway. Ianya bukanlah kerana kecemerlangan yang luar biasa tetapi keupayaan mereka mengelak daripada melakukan perkara bodoh secara konsisten.

Untuk individu pula, kita semua pastinya mahukan keadaan kewangan peribadi yang sihat dan kukuh. Namun begitu, sebelum kita terlalu memikirkan cara untuk menggandakan wang, mungkin sebaliknya kita perlu berfikir sejenak untuk merenung bagaimana untuk tidak hilang wang terlebih dahulu. Teknik penyongsangan yang boleh disoal adalah, apakah perkara yang boleh meranapkan kewangan kita? Berhutang daripada ‘Ah Long’. Tiada perlindungan takaful atau insurans. Berbelanja melebihi pendapatan. Membeli kereta di luar kemampuan. Tiada tabung kecemasan. Tabiat berjudi. Nah, sekiranya kita dapat mengelak daripada terjebak dalam masalah tersebut, pasti tahap kewangan kita akan bertambah baik.

Penyongsangan sangat berguna untuk mencabar kepercayaan kita. Ia memaksa kita untuk menimbangkan hujah-hujah yang bertentangan. Penyongsangan menghalang kita daripada terus membuat keputusan sejurus selepas kesimpulan awal. Ia adalah satu teknik untuk mengatasi kecenderungan yang berat sebelah (confirmation bias). Penyongsangan adalah kemahiran penting untuk melayari kehidupan yang logik dan rasional. Ia membolehkan kita melangkah keluar dari pola pemikiran yang normal dan menilai situasi dari sudut yang berbeza.

Songsangkan, sentiasa songsangkan.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Artikel-artikel berkaitan
Kehidupan MAS 09-Jun-2020 Ketahui alam tidur anda Penjejakan iklan, Ad tracking Kehidupan MAS 05-Jun-2020 Data peribadi dan bahaya penjejakan iklan
Pendapat
Pendapat 09-Jun-2020
Kolumnis Penyumbang

Sewaktu disahkan oleh doktor saya mengalami masalah kemurungan, saya terus mendapatkan bantuan pakar. Sesi terapi setiap dua minggu dan bantuan perubatan yang disarankan telah saya ikuti. Hampir setahun lamanya juga masa yang diambil sebelum saya dapat menguruskan kehidupan sendiri.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 05-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Mengambil pemain naturalisasi sebagai pemain sesuatu pasukan negara bukanlah sesuatu perkara yang baru. Dalam sukan lain misalnya seperti ping pong dan badminton, ramai pemain kelahiran China menjadi wakil negara lain. Malah dalam sukan bolasepak sendiri juga perkara ini sudah menjadi kebiasaan.

Teruskan Teruskan