Teknologi 5G dalam sektor pertanian

Kehidupan MAS 12-Jun-2020
5G
Teknologi 5G © Szefei | Dreamstime.com

Anda pasti pernah mendengar hype tentang teknologi mudah alih generasi kelima (5G). Berita baiknya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melaksanakan proses tender untuk jalur spektrum 700 MHz dan 3.5 GHz 5G pada bulan April akan datang. SKMM juga meramalkan pengkomersialan teknologi 5G akan bermula pada suku ketiga 2020.

Adakah kita patut berasa teruja dengan perkembangan ini? Ya dan tidak.

Terdapat tiga kelebihan utama teknologi 5G berbanding 4G. Pertamanya, ia jauh lebih pantas. Teknologi 5G ini mampu menawarkan Internet berkelajuan tinggi pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding teknologi 4G. Demonstrasi yang berjaya dilaksanakan syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) di Langkawi menunjukkan kadar kelajuan maksimum adalah pada 1.5GB sesaat untuk proses muat turun data. Ini bermaksud, teknologi 5G membolehkan pengguna memuat turun keseluruhan filem berdefinisi tinggi dalam masa beberapa saat sahaja! Berbanding 4G, pengguna akan dapat merasai perbezaan ketara dalam prestasi rangkaian ketika aplikasi streaming untuk kualiti 4K dan juga permainan video atas talian.

Perkara kedua adalah kadar lengahan (latency) yang sangat rendah. Ianya merujuk kepada masa yang diperlukan untuk memulakan sambungan baru. Dengan 5G, sambungan dapat dilakukan hampir serta-merta (1 milisaat) berbanding kadar sekarang sekitar 20 milisaat. Perkara ini mungkin tidak begitu menonjol dan dirasai oleh pengguna biasa, namun ianya sangat penting dalam sesetengah aplikasi seperti kenderaan pandu-sendiri, e-kesihatan serta persidangan video berskala besar dan lancar (seamless).

Akhir sekali, teknologi canggih ini mampu menyokong lebih banyak sambungan tanpa mengurangkan kelajuan pengguna. Secara teori, berbanding teknologi LTE yang hanya mampu menghubungkan 1,000 peranti dalam keluasan satu kilometer persegi, teknologi 5G pula mampu menghubungkan sehingga sejuta peranti dalam keluasan sama! Perkara ini pasti dapat anda bayangkan jika pernah menghadiri perlawanan bola sepak atau menonton konsert di stadium dan mendapati akses Internet anda menjadi agak teruk.

Hebat bukan teknologi 5G ini? Namun begitu, sebagai pengguna biasa kita terpaksa menunggu lebih lama untuk menggunakan teknologi tersebut. Buat masa ini, aplikasi 5G di Malaysia diberi keutamaan bagi kegunaan industri. Menurut dapatan daripada kajian yang telah dijalankan oleh Pasukan Petugas 5G Kebangsaan, pertanian antara sektor yang telah dikenal pasti bagi implementasi awal teknologi 5G.

Sejak sekian lama pertanian merupakan industri yang menjadi nadi ekonomi negara untuk pasaran eksport dan juga kegunaan tempatan. Namun, industri ini menerima persaingan yang sangat kompetitif dan juga pasaran yang tidak menentu. Sebagai contoh, eksport minyak kelapa sawit negara pada tahun 2019 menjunam berbanding tahun sebelumnya. Justeru itu, adalah sangat penting bagi industri pertanian Malaysia untuk bersifat mandiri dan lebih berdaya tahan.

Implementasi 5G adalah kritikal dalam membolehkan teknologi pertanian pintar dan pertanian tepat (precision farming) dalam tiga aspek utama. Pertamanya adalah penggunaan dron untuk pengawasan ladang, Internet Benda (IoT) untuk pengumpulan data dan analisis, dan akhir sekali penggunaan robot pertanian.

Pertanian pintar akan mampu mengurangkan kebergantungan ke atas tenaga buruh terutamanya pekerja asing namun dalam masa yang sama mencipta peluang pekerjaan baru seperti pemandu dron dan penganalisis data pertanian. Penggunaan dron dapat menggantikan kaedah penyemburan racun dan baja secara konvensional yang menggunakan buruh dalam proses penanaman.

Sebagai contoh, dron hanya mengambil masa kira-kira 11 minit untuk menyelesaikan penyemburan racun atau baja bagi satu hektar sawah padi. Tinjauan dan pengumpulan data mengenai tanah pertanian juga boleh dilaksanakan menggunakan dron yang mampu merakam imej foto tanaman dengan mudah.

Penggunaan sensor IoT pula mampu menawarkan data penting seperti tahap kelembapan, pH, kesuburan tanah dan sebagainya dalam masa nyata. Aplikasi teknologi 5G ini membolehkan penggunaan baja, racun, air dan lain-lain dengan tepat yang mengelakkan pembaziran input pertanian. Perkara ini meningkatkan kecekapan pada setiap peringkat dalam rantaian nilai pertanian di samping mengurangkan kos.

Penggunaan robot pula dapat direalisasikan dengan automasi seperti traktor pandu-sendiri yang akan menangani kesan kekurangan buruh dan juga situasi petani di negara kita yang semakin berusia.

Kawasan yang telah dikenal pasti berpotensi untuk aplikasi dron berkenaan merupakan kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). Kawasan ini dipilih kerana purata hasil padi KADA adalah antara yang paling rendah di Malaysia (3.86 tan setiap hektar), walaupun ianya merupakan kawasan penanaman kedua terbesar.

Selain itu, kajian yang dijalankan oleh MARDI menunjukkan bahawa pesawah padi di KADA mencatat kadar penerimaan teknologi baru setinggi 92.4%. Selain itu, 96.3% pesawah juga bersetuju teknologi pertanian tepat mampu meningkatkan hasil tanaman. Kerjasama yang diberikan oleh pesawah berkenaan bakal menjurus kepada kadar kejayaan yang lebih tinggi.

Ujian dron ini juga boleh dilaksanakan bersama sistem pengawasan dan laporan berasaskan IoT sedia ada, e-PADI. Sistem tersebut dibangunkan oleh pelajar dan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis dan telah berjaya diuji.