Teknologi berpusatkan ilmu pengubat rindu

Dunia Hanita Hassan 23-Apr-2020
Teknologi seiring ilmu © Sasinparaksa | Dreamstime.com

Teknologi komunikasi adalah elemen penting dalam kehidupan kita pada hari ini.  Ia adalah penghubung yang jauh dengan yang dekat. Tanpa melakukan kunjungan ke rumah kedua orang tua, anda masih boleh berhubung dengan mereka melalui teknologi ini.  Apatah lagi dalam situasi pandemik wabak baru yang tidak menggalakkan anda keluar rumah, teknologi internet dan telefon pintar menjadi alat komunikasi penting sebagai penghubung silaturahim.

Kecanggihan teknologi membolehkan anda memuat naik pelbagai aplikasi untuk berkomunikasi dengan orang tersayang, mendengar suara, dan melihat wajah mereka seolah-olah anda berada di hadapan mereka.  Bukan itu sahaja, anda juga boleh bertugas dari rumah atau di mana sahaja tidak kira masa, tempat dan situasi.

Para pelajar universiti dan pelajar sekolah juga sudah mula membiasakan diri dengan pembelajaran secara maya, berinteraksi dengan guru melalui capaian internet. Semua ini tidak lagi mustahil dilakukan pada zaman serba moden dan canggih ini.  Teknologi adalah pantulan daripada kebijaksaan kita sebagai manusia ciptaan Allah SWT.

Hakikat paling utama manusia dicipta di dunia adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya.  Justeru, jika kita lalai dan leka menunaikan janji kepada Allah SWT, kita akan menerima balasan di akhirat nanti.  Usah bersandarkan perangai iblis yang mengingkari arahan Allah SWT untuk bersujud.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Tidaklah aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah (beribadat) kepada-Ku.” (Surah al-Dhariyat, ayat 56)

Sekiranya anda membuka lembaran sejarah kegemilangan Islam, ia lebih awal telah mencipta kejayaan dengan mengubah keadaan masyarakat yang rosak akhlak serta akidah melalui peluasan ilmu. Tradisi kecendekiawanan (tradition of scholarship) Islam berkembang dengan terhasilnya buku-buku atau kitab-kitab hasil daripada kajian dan penelitian yang membolehkan umat Islam mempunyai sumber rujukan dalam tradisi pengilmuan dan pendidikan.

Al-Biruni misalnya menjelajah ke India, menguasai bahasa Hind untuk membolehkan beliau membuka jendela ilmu dalam tamadun India serta melakukan adaptasi untuk disesuai dengan keperluan sains dan teknologi yang sifatnya tidak bercanggah.  Tradisi ini berkembang sejak zaman Abbasiyah dan Andalusia dan menghasilkan perubahan kemajuan dalam susuk tamadun Islam.

Ilmu Islam yang begitu banyak dan subur telah dijadikan sumber rujukan Barat dan diterjemah dalam pelbagai bahasa.  Antaranya bahasa Latin, Ibrani dan bahasa-bahasa Eropah yang lain.  Evolusi dan pembangunan Islam yang berkembang maju ini telah mempercepat proses reformasi Eropah dari zaman kegelapan kepada zaman pencerahan, diikuti Revolusi Industri dan akhirnya menjadi kuasa penakluk dan penjajah.

Semakin hari, teknologi media baharu semakin tersebar luas dan berdaya cipta. Persoalannya, mampukah media baharu ini dari sudut pengisian, program mahupun inputnya mengukuhkan kualiti manusia dan kemanusiaan.

Hari ini, kehidupan anda berubah dengan teknologi.  Belum sempat  memahamkan teknologi yang ada, sudah muncul ciptaan terkini.  Begitulah hari-hari seterusnya. Semoga dunia serta alam ini akan dikendali oleh tangan-tangan dan hati-hati yang memiliki kualiti adab dan keihsanan yang tinggi.