Teknologi dron dan robotik tarik minat generasi baru petani

Teknologi MAS 25-Dis-2019

Dron dan robotik akan menyumbang terhadap kewujudan ladang berteknologi tinggi dan generasi baru petani. Arus pemodenan ini seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). Penggunaan teknologi tinggi dalam sektor perladangan akan mengurangkan penggunaan tenaga buruh dan peralatan bermotor. Penggunaan meluas komputer dan gadget juga bakal menarik minat generasi muda untuk menjadi usahawan agro.

Komuniti ladang berteknologi tinggi dengan diterajui bakat muda Felcra telah dirancang. Pelatih akan menjalani latihan menggunakan teknologi dron dengan bantuan MATA Aerotech Sdn Bhd. Program latihan selama tiga bulan dinamakan ‘Aviator Training Programme’ (ATP) telah dilancarkan untuk tujuan tersebut.

Menurut Ketua Eksekutif MATA Aerotech, jurulatih bagi program berkenaan merupakan juruterbang dron senior dari Taiwan. Latihan telah bermula pada November dengan program dalam kelas dan praktikal di Kolej Felcra, Seberang Perak. Pelatih akan mempelajari komponen perkakasan dan juga perisian teknologi dron.

Wan Azrain Adnan berpendapat penggunaan teknologi terkini membuka peluang pekerjaan untuk anak-anak petani dan peneroka Felcra. Peralihan dari pertanian konvensional kepada perladangan moden akan dipacu teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI).

AI dan peralatan berteknologi tinggi mampu menawarkan pertanian ketepatan (precision agriculture). Pertanian ketepatan adalah berasaskan tiga prinsip mudah; kaji selidik, analisis dan aplikasi. Ianya akan mempermudahkan petani dalam menguruskan ladang mereka secara lebih cekap dan berkesan.

Penggunaan AI dan dron juga mampu meningkatkan hasil, menjimatkan kos dan keperluan buruh. Contoh penggunaan dron adalah menggantikan penyemburan konvensional menggunakan buruh dalam proses penanaman padi. Penggunaan dron hanya mengambil masa 11 minit untuk menyelesaikan penyemburan satu hektar sawah padi.

Tinjauan dan pengumpulan data mengenai tanah pertanian juga boleh dilaksanakan menggunakan dron dengan mudah. Analisis data yang dikumpul dapat dicapai melalui AI dengan merakam imej foto tanaman.

Pada 22 Julai, MATA Aerotech telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Felcra. MoU bertujuan untuk menerapkan teknologi dron untuk operasi perladangan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan modal insan.