Teknologi maklumat dan Internet – komunikasi kita dalam masyarakat

Teknologi Hanita Hassan 22-Okt-2020
dreamstime_s_180063263
Teknologi maklumat dan Internet - komunikasi kita dalam masyarakat © dotshock | Dreamstime.com

‘Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar.’ Peribahasa lama ini mengingatkan kita supaya berhati-hati apabila memperkatakan sesuatu hal. Seperti kata bidalan:

‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’

Kesan dan tanggapan yang tercetus akibat komunikasi terutama dalam era teknologi digital, badan binasa bukan lagi disebabkan oleh mulut, tetapi oleh jari jemari kita yang lincah menaip di papan kekunci. Apabila tersebar, boleh melukakan hati serta menyinggung perasaan orang yang terlibat.

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta internet telah menjadikan dunia ini sebuah Perkampungan Global (Global Village).  Kita bebas mendapat capaian di mana-mana sahaja dan bila-bila masa diperlukan, siang ataupun malam.

Internet – alat ICT paling dinamik

Internet menjadi alat ICT yang paling dinamik pada abad ini untuk berhubung, malah ia bersifat interaktif yang dapat menarik minat pelbagai lapisan masyarakat menggunakannya. Tidak seperti televisyen dan radio, internet adalah gedung pengetahuan dan maklumat.

Pastinya kita boleh memperoleh pelbagai faedah daripada internet. Kita boleh mengetahui tentang jenis perniagaan, cara untuk memulakan perniagaan atau mendapatkan bantuan kewangan. Juga boleh memasarkan produk serta perkhidmatan melalui internet. Begitu juga jika kita seorang pelajar, artis dan sebagainya.

Namun di sebalik kebaikan internet, terdapat juga kekurangannya apabila teknologi dan komunikasi dijadikan alat untuk menyebar propaganda dan maklumat palsu.  Ia bukan lagi berlaku kepada artis, ahli politik dan pemimpin masyarakat sahaja, tetapi juga golongan guru, penjual goreng pisang atau peniaga burger mahupun individu yang tidak punya nama besar, semuanya tidak terkecuali.

Inilah fitnah zaman siber yang lebih canggih yang dihadirkan beserta rakaman video yang terkadang telah ditonton oleh jutaan pelayar media. Gosip dan aib orang lain menjadi bahan dagangan mengaut keuntungan yang akhirnya masyarakat hidup dalam suasana bermusuhan dan kucar kacir.

Periksa dengan teliti

Justeru, sebagai manusia yang beriman, kita hendaklah meneliti dan mencari bukti berkait isu sesuatu tuduhan dengan bertabayyun (periksa dengan teliti) supaya tidak terjerumus dalam kancah fitnah. Elakkan mendengar dan membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman!  Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Surah al-Hujurat, ayat 6)

Tidak bertabayyun apabila mendapat perkhabaran atau maklumat boleh menyebabkan terjadinya prasangka buruk dalam kalangan masyarakat sekali gus menimbulkan kurang tenang.  Allah SWT melarang perlakuan ini sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman!  Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?  (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Surah al-Hujurat, ayat 12)

Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keampunan dan afiat di dunia dan di Akhirat.