Tekun dalam memelihara solat  

Agama Hanita Hassan 21-Jun-2020
Tekuni ibadah solat di mana saja © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Solat adalah tiang agama.  Solat juga menjadi penghubung atau jambatan di antara kita dengan Allah SWT.  Ia menjadi keutamaan di akhirat kelak.  Sekiranya sempurna solat kita maka akan sempurnalah ibadat-ibadat lainnya.

Terdapat tidak kurang 100 ayat di dalam Al-Quran yang membicarakan tentang solat.  Allah SWT telah berfirman menerusi surah al-Ankabut, ayat ke-45 yang mafhumnya, solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

Para ulama berpendapat, solat yang dapat melindungi kita daripada melakukan perkara-perkara keji dan mungkar ialah solat yang benar-benar sempurna.  Solat yang diterima Allah SWT. Sebaliknya apabila kita melakukan solat secara sambil lewa, ia tidak akan mampu menjadi pelindung atau benteng kepada orang yang mengerjakannya.

Rasulullah SAW berpesan yang maksudnya: “Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku solat.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW apabila bersolat, baginda melakukannya dengan penuh khusyuk.  Begitu juga dengan sahabat-sahabat Baginda.  Hari ini dengan kesibukan bekerja dan melaksana kehidupan di dunia telah melalaikan kita daripada khusyuk mengerjakan solat. Kita meletakkan keutamaan dunia melebihi daripada keutamaan solat.

Banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik amalan solat.  Solat boleh ditafsirkan sebagai jalan atau petunjuk Allah SWT, untuk membimbing kita supaya sentiasa menghargai dan menepati masa.

Apabila tiba waktu solat, kita wajib menangguh kerja-kerja yang lain dan menunaikan kewajipan kepada Sang Pencipta. “Sesungguhnya solat itu adalah ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman dan ditentukan waktunya.”  (Surat An-Nisa, ayat 103)

Rasulullah SAW mengingatkan kita:  “Solat pada awal waktu akan memperoleh keredaan Allah SWT dan di akhirnya mendapat  keampunan-Nya.”  (HR at-Tirmidzi)

Malah, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh para sahabat berkenaan masa mendirikan solat.  Lantas, Baginda bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktunya.”  (HR at-Tirmidzi)

Selepas solat, bertebaranlah kita semula ke muka bumi Allah SWT untuk mencari rezeki. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Jumu’ah, ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).”

Setiap kali solat, tanpa sedar kita berikrar kepada Allah SWT dalam doa Iftitah yang kita baca. “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”  (Surah al-An’am, ayat 162)

Menerusi solat, kita diajar bijak mengurus masa.  Kita juga diasuh menjadi mukmin yang berpegang kepada amanah dan menepati janji kepada Allah SWT.  Kita dilatih menjadi manusia yang teliti dan fokus dalam melakukan sesuatu kerja

Justeru, sebagai mukmin yang beriman kepada Allah SWT, peliharalah solat.  Natijahnya cukup besar kepada kehidupan kita bukan sahaja di dunia, malah yang paling utama di akhirat kelak.