Tekun dan telus, sabar dan sayang

Sahsiah Hagnas 21-Ogo-2020
Tekun mengajak anak-anak solat © Odua | Dreamstime.com

Apabila kita mengajak orang yang kita sayangi solat, belum tentu yang diajak itu terus solat. Buktikan yang kita telus mengajak mereka, bukan hangat-hangat tahi ayam semata-mata.

Kita hendaklah tekun mengajak mereka solat dengan sabar, kerana kita menyayangi mereka kerana Allah SWT. Siapa mereka kalau bukan anak-anak kita, dan mungkin juga saudara-mara atau rakan-rakan kita. Sama-sama juga kita usaha titipkan doa buat mereka dan kita semua.

Dalam al-Quran, bila Allah SWT menyuruh kita mengajak anak-anak menunaikan solat, Allah menggunakan perkataan اصطبر (isthobir) yang antara maknanya ‘tekunlah bersabar’ lebih tinggi maksudnya dari perkataan اصبر (isbir) iaitu ‘bersabarlah’. Ini disebut dalam surah Ta-Ha, ayat 132 yang bermaksud:

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekunlah bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Semestinya kita akan berada gembira apabila kita melihat amal kita dan anak kita berterusan, terus, telus, tekun dan istiqamah.

Namun, perlu kita ingat bahawa langit tidak selalu cerah. Sesekali anak kita mungkin malas beramal, berat untuk menunaikan solat. Ini lumrah, dan cuba untuk jangan marah-marah. Fikirkan  apa yang perlu dilakukan untuk mengembalikan mereka ke jalan yang Allah SWT redha.

Lihat firman Allah SWT dalam surah al-Fussilat, ayat 6 yang antara mafhum ayat ini bermaksud: “…Maka tetap teguhlah, istiqamahlah melalui jalah menuju Allah, dan mohonlah keampunan-Nya…”

Jadi ini antara kunci kembali dan tetap istiqamah saat tergelincir. Terapkan dalam hati yang paling dalam bahawa Allah Maha Pengampun, Allah Maha Penyayang. Istighfar, taubat dan mohon ampun benar-benar kepada Allah SWT. Segera insafi kesilapan kita.

Setiap kesusahan, ada kesenangan. Bayangkan, jika anak kita boleh tekun bermain bola yang disukainya, dia juga tentu boleh tekun solat kerana itu suruhan Allah SWT yang selayaknya dicintai oleh kita dan anak-anak dan semua manusia. Teruskan usaha!