Telaga Saidina Uthman Ibn Affan r.a

Kepercayaan Hanita Hassan 03-Ogo-2020
Telaga Saidina Uthman Ibn Affan r.a © english.alarabiya.net

Sedekah dan wakaf adalah pelaburan jangka panjang yang sangat menguntungkan.  Kita tidak akan rugi, malah semakin subur dan membiak hasilnya di dunia, lebih-lebih lagi di Akhirat nanti.

Kisah telaga Saidina Uthman Ibn Affan r.a ini dikongsi untuk membuktikan betapa janji Allah SWT kepada orang yang bersedekah itu adalah pasti.  Pahala ganjarannya berterusan, melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterakan hidup.

Diriwayatkan selepas pihak Muhajirin berhijrah ke Madinah, musim kemarau pun melanda. Penduduk Madinah dan pihak Muhajirin menghadapi masalah untuk mendapatkan air bersih.

Salah satu punca bekalan air yang masih ada adalah daripada Telaga Rummah iaitu telaga milik seorang Yahudi. Para sahabat dikenakan caj yang tinggi untuk mengambil air daripada telaga tersebut. Ia menimbulkan masalah.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Sahabatku!  Sesiapa sahaja di antara kamu yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan telaga itu, lalu mendermakannya untuk umat, maka akan mendapat Syurga Allah.”  (Hadis riwayat Muslim)

Saidina Uthman Ibn Affan r.a yang mengetahui akan hal tersebut dengan segera bertindak bertemu pemilik telaga. Beliau menyatakan hasratnya  membeli telaga itu dengan tawaran yang tinggi. Namun pemilik telaga menolak kerana bimbang pendapatannya akan terjejas.

Tidak berputus asa, Saidina Uthman r.a kemudian menawarkan untuk membeli separuh daripada pemilikan ke atas telaga tersebut. Tawaran itu diterima kerana pemilik telaga yakin akan mendapat keuntungan yang banyak.

Saidina Uthman r.a dan pemilik telaga membuat perjanjian untuk bergilir-gilir memiliki telaga tersebut berselang hari.  Jika hari ini milik Saidina Uthman, maka esok pula milik si Yahudi.  Hari seterusnya milik Saidina Uthman dan berterusan secara bergilir-gilir.

Beliau memberitahu kepada semua penduduk Madinah bahawa telaga itu telah diwakafkan.  Semua orang boleh mendapatkan air percuma pada hari-hari miliknya.  Saidina Uthman r.a turut menasihati penduduk Madinah supaya menyimpan bekalan cukup dua hari sehingga hari gilirannya semula.

Sangkaan si Yahudi yang menganggap keputusannya menjual sebahagian daripada telaga itu bijak, rupa-rupanya meleset. Dia silap membuat perhitungan.  Disangkanya untung tetapi rugi. Saidina Uthman r.a lebih bijak.

Telaga itu akhirnya dijual terus kepada Saidina Uthman Ibn Affan r.a oleh si Yahudi.  Sejak itu beliau mewakafkan telaga miliknya itu. Sejak itu, seluruh penduduk Madinah tidak mengira bangsa dan agama boleh mendapatkan bekalan air percuma daripada telaga itu.

Setelah beberapa tahun berlaku, dengan izin Allah SWT, limpahan air daripada telaga itu telah menyuburkan kawasan di sekitarnya. Pokok kurma yang terdapat di situ terus membiak dan dipelihara oleh kerajaan yang memerintah sehinga sekarang.

Hasil jualan dan keuntungan daripada kurma-kurma tersebut, ada yang diinfaqkan kepada orang miskin dan anak-anak yatim dan sebahagian lagi disimpan di akaun bank yang diwujudkan atas nama Saidina Uthman Ibn Affan r.a.

Kerajaan Arab Saudi juga menggunakan wang simpanan itu untuk membeli tanah berhampiran masjid Nabawi dan membina sebuah hotel di Madinah.  Tanah dan hotel tersebut adalah atas nama Saidina Uthman r.a dan diwakafkan.

Inilah janji Allah SWT yang sangat hebat bahawa harta orang yang bersedekah tidak akan berkurang meskipun disedekahkan semuanya dan tinggal sedikit sahaja untuk keperluan harian.

Semoga sifat dermawan yang dimiliki oleh Saidina Uthman Ibn Affan r.a ini akan menjadi ikutan oleh kita semua dalam memperbanyak sedekah dan wakaf.