Tempat Yang Paling Disukai Dan Dibenci Oleh Allah

Jika ditanya setiap daripada kita; di manakah tempat yang paling kita sukai, dan di manakah pula tempat yang paling kita benci?

Adakah di rumah, pejabat, pasar raya, tempat-tempat riadah atau hiburan?

Jika ada yang menjawab masjid sebagai tempat yang paling disukai, semoga anda sentiasa berada dalam rahmat Allah kerana itulah tempat yang paling disukai olehNya.

Namun, jika ada yang menjawab pasar, hendaklah sama-sama kita beringat kerana itu merupakan tempat yang paling dibenci oleh Allah.

Daripada Abu Hurairah R.A., Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.” – HR Muslim (671).

Imam al-Nawawi dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadis ini berkata, masjid-masjid merupakan tempat yang paling disukai oleh Allah S.W.T. kerana ia adalah tempat yang dilakukan ketaatan serta ia diasaskan di atas ketaqwaan.

Manakala, tempat yang dibenci oleh Allah adalah pasar-pasar disebabkan ia merupakan tempat penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, menjauhkan daripada mengingati Allah dan sebagainya.

Tambahan pula, masjid-masjid merupakan tempat turunnya rahmat dan pasar-pasar merupakan sebaliknya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 5/171]

Sementara itu, Imam Ibn Batthal pula berkata, masjid merupakan tempat yang disebutkan nama Allah, sedangkan pasar pula adalah tempat yang bising dan lalai serta tempat manusia sibuk mengumpul duit.

Namun, sekiranya seseorang itu mengingati Allah di pasar maka ia termasuk di antara amalan yang terbaik. [Lihat: Syarah Sahih al-Bukhari, 6/249]

Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, maka hukum memasuki pasar adalah makruh kerana ia merupakan tempat yang boleh menyebabkan manusia jauh atau berpaling daripada mengingati Allah S.W.T.

Imam al-Mawardi dan selain daripadanya mencela perbuatan orang yang sentiasa mengunjungi pasar dan banyak menghabiskan masanya dengan menyibukkan diri sehingga mengabaikan ibadah kepada Allah. [Lihat: al-Majmu’, 9/154]

Kesimpulannya, hadis yang membicarakan berkaitan pasar merupakan tempat yang paling dibenci oleh Allah S.W.T. adalah hadis yang sahih.

Selain itu, hukum asal memasuki pasar adalah makruh di sisi para ulama melainkan bagi orang yang berhajat padanya.

Bagaimanapun, perlu diingatkan agar kita menjaga adab-adab serta tidak menghabiskan banyak masa pada perkara-perkara yang tidak berfaedah sehingga terabainya kewajipan atau tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada Allah S.W.T.

Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto:Ali Arapoglu, Allan So, David McEachan, Rafael Guimaraes, Walid Ahmad  (Pexels)