Tempe yang versatil – khasiatnya setanding susu

Makanan Sihat 31 Jan 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Tempe yang versatil - khasiatnya setanding susu
Tempe yang versatil - khasiatnya setanding susu © Wisnu Wisdantio | Dreamstime.com

Tempe merupakan sejenis makanan yang tidak asing bagi kita di negara ini.  Diperbuat daripada proses penapaian kacang soya, tempe adalah makanan tradisi asal Indonesia.

Di Malaysia, ia adalah makanan istimewa bagi masyarakat Jawa dan sajian snek yang murah serta mengenyangkan.  Pada musim perayaan, Tempe dijadikan hidangan di Hari Raya atau kenduri kendara.

Adakah rumit membuat Tempe?

Pembuatan Tempe tidak terlalu rumit, namun anda perlu belajar daripada orang yang berpengalaman sebelum boleh membuatnya sendiri di rumah.  Semasa proses pembuatan, anda perlu memastikan kaedah penghasilan tempe bermutu tinggi, tidak mudah busuk dan sedap dimakan.

Kacang soya perlu direndam dalam air biasa selama dua hari untuk melembutkannya. Sekiranya khuatir tidak dapat memproses bahan soya menjadi Tempe, usah rendam terlalu banyak kacang soya. Dibimbangi ia akan menjadi busuk. Selepas direndam, anda perlu membelah kacang soya menjadi dua bahagian.

Selepas itu, rebus kacang soya yang sudah direndam selama sejam untuk meningkatkan kelembutannya sebelum ditos kira-kira 30 minit, dianginkan atau dijemur di bawah cahaya matahari terik. Setelah kering, anda boleh mencampurkan ragi Tempe pada kacang soya. Biasanya ragi tempe komersial ada dijual di pasaran.

Anda perlu berhati-hati semasa menggaul kacang soya dengan ragi.  Semua bahagian kacang soya mesti dibalut sama rata dengan bahan berkenaan untuk menghasilkan kulat baik yang berwarna putih. Kemudian, kacang soya yang memutih dengan ragi dicampurkan pula dengan sedikit tepung beras untuk menjadikan Tempe kelihatan gebu.

Seterusnya, Tempe siap untuk dibungkus. Terdapat beberapa kaedah pembungkusan tempe pada masa kini.  Antaranya menggunakan jenis daun seperti daun pisang, daun keladi, daun hutan dan daun lebar.

Tempe moden dibungkus menggunakan kertas dan plastik. Penggunaan bahan tradisional seperti daun akan menaikkan lagi aromanya. Biarkan beberapa hari sehingga tempe menjadi keras sedikit sebelum ia dijadikan hidangan istimewa.

Tempe yang versatil – khasiatnya setanding susu

Biasanya seikat Tempe (mempunyai empat keping) berharga RM1.00.  Ia banyak dijual di pasar raya mahupun kedai runcit.  Selain rasanya sedap, banyak khasiat yang terkandung di dalamnya yang bermanfaat kepada tubuh. Antaranya kalsium, zat besi, magnesium dan fosforus.

Tempe juga baik untuk kesihatan kerana berupaya mengurangkan tahap kolesterol dan radang serta membantu proses menurunkan berat badan.  Selain itu, pengambilan tempe juga baik untuk tulang serta membantu penghadaman kerana mengandungi prebiotik. Ia juga sumber protein yang tinggi.

Hasil kajian saintifik oleh beberapa universiti tempatan mendapati khasiat Tempe adalah setanding dengan susu. Kepada yang tidak suka susu lembu, boleh mendapatkan   tempe segar atau siap proses.

Ada pelbagai jenis makanan boleh diolah menggunakan Tempe. Antaranya seperti tempe goreng, tempe goreng kicap, sambal tempe bersama kacang tanah dan bilis, tempe masak lemak cili api telur itik dan sambal tempe goreng jawa.

Enak juga sekiranya Tempe yang sudah digoreng, dicicah dengan sambal kicap. Lebih sedap apabila dimakan panas-panas dengan hidangan nasi bersama ikan masin. Selamat mencuba.  Kita hasilkan sendiri di rumah, kita yakin kehalalannya.