Terbang Ke Zhengzhou dan Chengdu Dengan Malindo Air

Jika anda merancang untuk berlibur sambil meneroka sejarah peradaban di tanah besar China, kini anda boleh memasukkan Zhengzhou dan Chengdu ke dalam senarai lokasi percutian tersebut kerana Malindo Air kini membuka laluan penerbangan ke dua wilayah itu bermula 1 Mei 2019.

Ia sekali gus melengkapi perkhidmatan laluan penerbangan Malindo Air ke bandar-bandar di China sedia ada iaitu dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Langkawi dan Johor Bahru ke Guangzhou, Chengdu, Guiyang, Haikou, Kunming, Tianjin serta Wuhan.

“Kami berbesar hati untuk memulakan laluan terbaharu ini yang berfungsi sebagai alternatif bagi para pelancong dari Zhengzhou dan Chengdu ke Malaysia.

“Langkah ini diharap dapat mendorong meningkatkan pertumbuhan kedatangan pelancong ke Malaysia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy.

Tambahnya, Malindo Air pada masa ini sedang mengembangkan jaringan penerbangan ke China, sejajar bagi memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat.

“Justeru, kami mengalu-alukan para penumpang untuk mencuba sendiri keselesaan penerbangan kelas ekonomi dan perniagaan pesawat Malindo Air,” jelas Chandran.

Bagi memberikan keselesaan kepada penumpang, Malindo Air menerbangkan pesawat Boeing 737-800NG (12 kelas perniagaan dan 150 kelas ekonomi) serta Boeing 737-900ER (12 kelas perniagaan dan 168 kelas ekonomi).

Bagi tujuan penerbangan ke Zhengzhou, Malindo Air menyediakan penerbangan tiga kali seminggu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Xinzheng Zhengzhou dengan kod penerbangan OD 0692 dan OD 0693.

Manakala untuk ke Chengdu pula, terdapat empat kali penerbangan seminggu antara KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shuangliu Chengdu dengan kod penerbangan OD 0672 dan OD 0673.

 

Bersempena dengan pelancaran laluan terbaharu tersebut, Malindo Air menawarkan harga tambang promosi sehala dari Kuala Lumpur ke Zhengzhou bermula RM429 untuk kelas ekonomi dan RM1,099 bagi kelas perniagaan.

Manakala harga tambang promosi sehala ke Chengdu pula adalah bermula daripada RM309 untuk kelas ekonomi dan RM999 bagi kelas perniagaan.

Sebagai salah satu daripada kota kuno di China, Zhengzhou merupakan ibu kota provinsi Henan, yang dikenali sebagai tempat lahirnya peradaban China.

Kota ini terletak di bahagian tengah China dengan menawarkan pelbagai lokasi pelancongan bersejarah seperti kuil Shaolin, Gua Longmen atau Longmen Grottoes, Sungai Kuning dan Gunung Song.

Sementara itu, Chengdu yang merupakan ibu kota wilayah Sichuan,  menawarkan pusat-pusat tarikan pelancong seluruh dunia seperti Tianfu Square.

Ia menempatkan tarikan seperti Muzium Chengdu, Muzium Sichuan dan Imperial Mosque yang mempunyai sejarah yang lama iaitu semenjak abad ke-16, yang juga merupakan masjid terbesar di wilayah Sichuan.

 

Foto: Malindo Air & Visit Our China