Terima kasih tanda penghargaan

Kehidupan Hanita Hassan 02-Jul-2020
Terima kasih kerana menghantar! © Odua | Dreamstime.com

Terima kasih adalah lafaz yang diucapkan sebagai menghargai kebaikan yang dilakukan oleh seseorang kepada seseorang yang lain, kepada diri kita dan orang lain.

Ada ketikanya, kebaikan seseorang tidak mampu untuk dibalas dalam bentuk perbuatan, harta atau kewangan.  Hanya dengan ucapan terima kasih, sudah cukup sebagai tanda pujian dan penghargaan.

Secara tepatnya, ucapan terima kasih adalah suatu kaedah penghargaan dan galakan motivasi bagi membentuk sebuah masyarakat harmoni. Ia hendaklah bermula dari rumah.

Kita menghargai setiap sumbangan dan bantuan ahli keluarga, meskipun pertolongan itu kecil.  Contohnya apabila anak menghidangkan segelas air kepada ibu atau bapa, ucapkan terima kasih.  Jika anak membantu membersihkan bilik sendiri, hargai usaha mereka dan ucapkan terima kasih.

Setiap ahli keluarga ada peranan masing-masing.  Peranan dan sumbangan ini dapat membina sebuah keluarga yang lebih terurus. Namun sekiranya sumbangan sekecil ini dipandang remeh, tidak dihargai sekali gus hubungan kekeluargaan boleh menjadi suram.

Ajari anak-anak mengucapkan terima kasih bermula dari meja makan. Membaca doa sebagai tanda terima kasih kepada Allah SWT pemberi rezeki, berterima kasih kepada ibu yang memasak dan menghidang makanan seterusnya kepada kakak atau abang yang membancuh dan menuang minuman.

Terima kasih atau penghargaan adalah tanda kesyukuran di atas segala nikmat yang kita perolehi. Maka bersyukurlah dengan segala pemberian dan bantuan serta ucapkan terima kasih kepada setiap pertolongan yang diterima.

Abu Hurairah r.a  berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.”  (Hadis riwayat Abu Daud: no. 4177, sahih – Kitab Silsilat al Ahadis ash Shahihah 1/702)

Bersyukur dan menghargai setiap nikmat ini juga adalah sebagai tanda cinta dan kasih. Sifat dan sikap ini dapat meluntur ego serta mengasuh kita merendah diri.

Daripada Usamah bin Zaid r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang diperlakukan dengan baik kepadanya kemudian dia mengucapkan kepada yang melakukan kebaikan tersebut:  Jazakallahu khairan (semoga Allah membalas kebaikanmu dengan sebaik-baik pembalasan), maka sungguh dia telah memberikan pujian yang terbaik.”  (HR at-Tirmidzi, no. 2035, al-Nasaie dalam sunan al-Kubra 6/53, no 10008)

Tugasan isteri atau ibu sepanjang hari di rumah amat meletihkan, namun dengan ucapan penghargaan terima kasih dapat menghilangkan rasa penat seharian. Suami punya peranan besar dalam menghargai isteri. Ucapkanlah terima kasih kepada isteri walau pada ketika sedang berbaring bersama.

Sifat dan sikap yang bermula dari rumah ini akan terbawa-bawa hingga ke pergaulan di luar. Sikap anak-anak yang terasuh ini pasti disenangi masyarakat.

Di dalam kehidupan ini, kita percaya bahawa setiap orang mempunyai kebaikan tersendiri.  Ada yang suka menunjuk-nunjuk kebaikannya. Ada juga yang secara sembunyi dan melakukan tanpa diketahui orang yang dibantunya.

Justeru carilah kebaikan dalam diri setiap orang yang kita jumpa.  Sekiranya kita tidak menemuinya adalah kerana kita tidak benar-benar melihat, iaitu dari sudut kaca mata hati.

Hargailah setiap sumbangan mereka di sekeliling kita agar kita turut dihargai. Semoga ucapan terima kasih boleh menjadi permulaan sebuah hidup yang lebih bahagia. Biasakan yang baik, baiki yang biasa, pasti hidup kita akan lebih tenang dan gembira.