Terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu

Al-Quran Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu
Terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu (foto: Kompleks Nasyrul Quran) © jpnin.gov.my/ms

Sejarah telah melakarkan bahawa al-Quran diturunkan di tanah Arab selama 23 tahun.  Kita sedar bahawa kitab suci ini diturunkan dalam bahasa Arab iaitu bahasa pilihan Allah SWT.

Namun, bukan semua daripada kita berkemampuan belajar dan memahami bahasa Arab terutama orang Melayu di sekitar Nusantara. Maka adalah menjadi keperluan ia diterjemah supaya kita semua dapat membaca dan memahami kandungan ayat yang disampaikan.

Terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu

Usaha menterjemah al-Quran ke dalam bahasa-bahasa lain termasuk dalam bahasa Melayu adalah usaha yang sangat baik.  Malahan generasi hari ini mendapat manfaat yang cukup besar hasil usaha tersebut.

Jika ditelusuri sejarah penterjemahan al-Quran, ia sangat panjang.  Secara dasarnya, untuk melakukan penterjemahan, syaratnya adalah mesti dilakukan oleh sebuah jawatankuasa.

Mereka terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang tertentu seperti sastera, sejarah, geografi, kimia, biologi, perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan seumpamanya.

Kitab sedar bahawa al-Quran bukan sahaja membincangkan tentang hukum hakam semata-mata, malahan pelbagai elemen ilmu  lain terdapat di dalamnya.  Justeru, usaha menterjemah ke dalam bahasa lain khususnya bahasa Melayu semakin penting kerana dua sebab utama.

Bagi mendekatkan umat Islam yang bukan berbangsa Arab untuk mencintai al-Quran dan berusaha mempelajari bahasa al-Quran.   Ia juga langkah terbaik untuk menyebarkan dakwah Islam kepada orang bukan muslim sekali gus mengajak mereka merenungi mesej al-Quran.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Al-Quran ini sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Saad, ayat 29)

Ayat ini menjadi dalil tentang kewajipan kita sebagai umat Islam untuk melakukan tadabbur terhadap al-Quran. Al-Quran diturunkan untuk dihayati dan ditaddabur serta dijadikan pedoman dalam kehidupan muslim yang beriman.

Kilang mencetak al-Quran kedua terbesar dunia di Putrajaya

Kebahagiaan yang abadi adalah dengan mengikut dan mengamalkan al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT. Kita bersyukur kerana Malaysia telah menggerakkan usaha melaksana tanggungjawab menterjemah mushaf al-Quran.

Hari ini, kita sudah pun mempunyai kilang mencetak al-Quran kedua terbesar dunia sejak Jun 2017 menerusi Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Kilang ini mampu menerbitkan sehingga lebih sejuta naskah al-Quran setahun untuk edaran pengguna domestik dan antarabangsa.

Proses menyalin Quran dilakukan oleh tujuh pakar penulis khat, yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni kaligrafi Islam. Mereka bukan sahaja tahu menjadikan teks al-Quran itu cantik malah faham erti setiap patah perkataan yang disalin untuk dijadikan sebuah manuskrip.

Kilang percetakan mushaf al-Quran terbesar dunia adalah King Fahd Complex for the Printing of the Holy Quran, Madinah di Arab Saudi.  Ia berupaya mencetak sehingga 10 juta naskah setahun untuk dieksport ke serata dunia.

Semoga Allah SWT merahmati setiap orang yang terlibat dalam kerja-kerja ini. Sesungguhnya Allah SWT menjamin al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi peringatan (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.”

(Surah al-Shu’ara’, ayat 192-195)

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.