Terokai Keindahan Permata Tersembunyi Belitung

SONY DSC

AirAsia bakal menawarkan perkhidmatan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Belitung, Indonesia bermula 2 Oktober 2019.

Penerbangan terus empat kali seminggu itu menjadikan AirAsia sebagai syarikat penerbangan pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Belitung.

“Belitung merupakan destinasi yang indah dan menakjubkan dengan potensi pelancongan yang belum diterokai.

“Kami berharap dengan perkhidmatan laluan terbaharu ini, semakin ramai pelancong akan dapat menerokai permata tersembunyi itu.

“Ia juga adalah bukti komitmen kami bagi menyokong kerajaan Indonesia dalam usahanya untuk membangunkan 10 destinasi pelancongan keutamaan baharu,” ujar Ketua Pemasaran Serantau AirAsia, Amanda Woo.

Sempena meraikan laluan baharu tersebut, AirAsia menawarkan tambang istimewa untuk ahli BIG serendah RM79 dari Kuala Lumpur.

Tempahan boleh dibuat di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia bermula 19 Ogos hingga 25 Ogos 2019 untuk perjalanan antara 2 Oktober 2019 hingga 28 Mac 2020.

Belitung, yang dikelilingi lebih daripada 100 pulau kecil dengan pantai yang indah dan air jernih, menawarkan percutian pulau yang menarik dengan pelbagai aktiviti air dan keindahan alam semulajadi.

Terdapat pelbagai pulau yang indah dengan pantai berpasir putih di sekitarnya seperti Pulau Pasir, Pulau Batu Burung Garuda, Pulau Leebong dan Pulau Batu Berlayar.

Selain itu, pelancong juga boleh meneroka taman geo yang unik di lokasi tarikan alam semulajadi seperti Gua Kelayang, Lombong Terbuka Kelapa Kampit, Pusat Konservasi Penyu Pulau Kepayang dan Air Terjun Gurok Beraye.

Manakala peminat seni fotografi pula boleh meninjau keunikan Danau Kaolin, sebuah tasik yang indah dengan perairan lautan biru dan deposit mineral putih, atau Muzium Kata Andrea Hirata, sebuah muzium sastera yang dihiasi dengan warna pelangi.

Sehingga ke hari ini, AirAsia menghubungkan Kuala Lumpur ke 14 destinasi di Indonesia iaitu Jakarta, Surabaya, Medan, Bali, Lombok, Yogyakarta, Pekanbaru, Pontianak, Padang, Palembang, Semarang, Makassar, Bandung dan Banda Aceh.

Foto: AirAsia, Eduard Todikromo & Johan Kusuma (123rf)