Teruskan bersyukur sewaktu wabak – sebuah peringatan

Doa 06 Mac 2021 Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Teruskan bersyukur sewaktu wabak - sebuah peringatan
Teruskan bersyukur sewaktu wabak - sebuah peringatan © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Memandangkan kita masih lagi berhadapan dengan situasi pandemik wabak koronavirus COVID-19, masih ramai yang sedang berjuang tanpa lelah, melebihi kita. Maka adalah penting untuk mengingatkan diri supaya terus bersyukur dan memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Harapan kita agar  Allah Taala memberi kekuatan untuk mengurangkan kesukaran dalam keluarga dan masyarakat, di samping mendoakan mereka yang kurang bernasib baik.

Teruskan bersyukur sewaktu wabak

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”

(Surah Ibrahim, ayat 7)

Meskipun pelbagai nasihat telah diberikan di seluruh dunia meminta kita mengawal diri dalam mengurangkan kekerapan membeli-belah, namun masih ramai yang tidak mampu membeli banyak barang dalam sesuatu masa. Bagi yang bernasib baik, sentiasalah beringat dan berterima kasih mengenai hal ini.

Pelbagai nasihat juga telah diberikan di banyak negara agar kita duduk di rumah bagi melindungi diri, keluarga serta membantu menghentikan penyebaran virus. Namun ada juga antara kita yang tidak mempunyai tempat tinggal. Bagaimana pula mereka boleh mengasingkan diri untuk mendapatkan perlindungan? Kita yang mempunyai tempat tinggal hendaklah bersyukur.

Meskipun banyak negara telah mengeluarkan panduan mengenai kepentingan mengamalkan jarak sosial, tetapi tidak semua orang mampu mengikut arahan khas sebegini yang telah diberikan.

Memang dalam keadaan yang sesak, penjarakan sosial adalah mustahil. Oleh itu, sekali lagi kita bersyukur kerana boleh menjaga jarak sosial dengan berada di rumah. Berdoalah kepada Allah SWT agar pertolongan dapat diberikan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 6490; Muslim, 2963; Ahmad, 7800)

Banyakkan bersabar dan jangan suka mengeluh

Sekiranya kita meneruskan pekerjaan dari rumah, kita seharusnya bersyukur kerana masih mempunyai kerja. Jangan suka mengeluh kerana ramai juga yang telah kehilangan pekerjaan sekarang. Dan mereka ini masih bergelut dengan macam-macam masalah, bimbang bagaimana untuk menyediakan keperluan diri dan keluarga.

Seterusnya, jika kita bekerja dari rumah, kita jangan terlepas pandang akan hakikat bahawa ada kalangan kita yang terpaksa berulang alik ke tempat kerja. Mereka mungkin bekerja sebagai pengantar makanan ke rumah, membuat rondaan di jalanan bagi melindungi rakyat, merawat pesakit di hospital, ataupun bekerja di kedai runcit.

Kita harus bersyukur dengan apa yang kita miliki dan berterima kasih kepada mereka yang telah berkhidmat untuk negara. Ramai  yang telah meninggal dunia akibat wabak COVID-19.  Justeru ucapkan terima kasih kepada Allah Taala kerana masih memberi peluang kepada kita menjalani kehidupan sehingga ke hari ini.

Marilah kita mendoakan yang terbaik kepada mereka yang sedang berhadapan dengan masalah-masalah besar, terutamanya yang dijangkiti wabak ini. Minta pertolongan Allah SWT untuk memberi kesabaran kepada ahli keluarga mereka dan orang tersayang.

Jika berkemampuan dan seikhlas yang boleh, hulurkan kebaikan dan bantu ahli masyarakat dan jiran kita semasa krisis ini. Firman Allah Taala dalam al-Quran yang bermaksud:

“Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).”

(Surah ar-Rahman, ayat 60)