Tetamu Allah SWT di Kaabah

Labbaik allahumma labbaik! © mustaqim aziz | Dreamstime.com

Tiada yang lebih indah dalam hidup selain terpilih menjadi tetamu Allah SWT (dhuyufur-rahman). Bersyukurlah apabila terpilih kerana di Malaysia atau negara-negara yang telah ditetapkan kuota haji masing-masing, kita perlu menunggu giliran setiap tahun.

Haji ialah rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh umat Islam kecuali yang tidak berkemampuan dari segi kewangan dan kesihatan.  Kewajipan haji bermula pada tahun ke-enam hijrah setelah diturunkan wahyu Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun ada riwayat yang mengatakan kefardhuan ibadat haji bermula pada tahun ke-sembilan hijrah.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Dan serukanlah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”  (Surah al-Hajj, ayat 27)

Kita perlu membuat pelbagai persiapan sebelum mengunjungi Baitullah supaya matlamat mendapat haji mabrur akan tercapai.  Dari segi rohani, kita harus membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah, menyucikan jiwa daripada perkara yang melalaikan dan berjihad melawan nafsu.

Tekad bersungguh-sungguh untuk mengubah diri atau memerdekakan diri daripada belenggu manusia, seterusnya menjadi hamba Allah yang Rabbani. Ilmu juga penting dalam kita mempersiap diri menunaikan rukun haji.  Ini kerana mempelajari ilmu-ilmu haji dapat menjadikan haji kita sah dan akhirnya diterima Allah SWT.

Dari segi kesihatan jasmani, kita hendaklah kekal sihat supaya dapat melaksana rukun haji dengan sempurna.  Kita akan melakukan banyak aktiviti fizikal seperti tawaf dan saie.  Kita juga akan berhimpit-himpit, bersesak-sesak, bertolak-tolak dan berasak-asak dalam lautan para jemaah.  Sentiasalah berdoa supaya Allah SWT mempermudahkan urusan ibadah haji kita.

Berjihad atau berkorban dari segi masa kerana kita memperuntukkan masa tertentu dalam menunaikan haji.  Ia bukan berlaku sepanjang tahun tetapi pada bulan tertentu sahaja. Kita juga perlu menghadiri kursus-kursus haji agar menajamkan ingatan dan sebagai panduan dalam melaksana haji dengan lebih sempurna.

Kita juga perlu berjihad mengumpulkan wang secukupnya.  Persediaan kewangan bukan hanya tambang pergi dan kembali, malah perbelanjaan ahli keluarga yang ditinggalkan semasa pemergian kita.

Diriwayatkan daripada Buraidah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Mengeluarkan biaya untuk keperluan haji sama dengan mengeluarkannya untuk perang sabil : satu dirham menjadi tujuh ratus kali lipat.” (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Thabrani dan Baihaqi, hasan – dari buku Fikh  Sunnah (Syed Sabit) Jilid 5, m/s 32)

Setelah tiba di Makkah, kita perlu menyesuaikan diri dari segi mental dan fizikal.  Keadaan tempat dan cuaca juga jauh berbeza dengan di negara kita.  Inilah masanya untuk kita berdoa dan meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT supaya memudahkan segala urusan.