TGV & GSC Sedia Tawaran Eksklusif Untuk Avengers : Endgame

Filem Marvel yang ditunggu-tunggu, Avengers: Endgame bakal menemui peminat-peminat Malaysia bermula 24 April hadapan. Penangan filem ini bukan kepalang memandangkan fanatik berlumba-lumba ingin menjadi orang yang pertama menyaksikannya.

Kerana itulah dua gergasi pawagam, TGV Cinemas dan GSC Cinemas menawarkan tayangan eksklusif untuk mereka yang tidak sabar-sabar menyaksikan pengakhiran filem yang dibarisi superhero Marvel ini.

TGV Cinemas menawarkan slot tayangan pada jam 7.30 pagi pada 24 April hadapan di enam lokasi terpilih iaitu di Sunway Pyramid, Vivacity Megamall, 1 Utama, Gurney Paragon, Sunway Velocity dan Tebrau. Dengan tiket berharga RM50, penonton berpeluang menyaksikan filem ini di layar IMAX 2D, berserta kombo sarapan pagi percuma dan satu poster mini eksklusif.

 

Menyaingi tawaran TGV Cinemas, GSC Cinemas tampil dengan waktu tayangan seawal jam 7.00 pagi pada tarikh yang sama. Rangkaian pawagam ini memilih sembilan lokasi iaitu GSC Mid Valley Megamall, GSC Pavilion KL, GSC MyTOWN, GSC 1 Utama, GSC IOI City Mall, GSC IOI Puchong, GSC Paradigm Mall JB, GSC Gurney Plaza Penang, dan GSC CityONE Kuching.

Tawaran harga juga lebih kompetitif iaitu RM35. Penonton akan mendapat satu tiket, satu Hotdog Ayam, secawan minuman panas dan seunit rantai kunci eksklusif Avengers: Endgame.

Jadi, jika anda benar-benar mahu jadi yang pertama, cepat-cepat buat tempahan tiket dalam talian di laman sesawang kedua-dua rangkaian pawagam ini. Jika tidak berjaya jangan kecewa, kerana terdapat juga kombo istimewa lain yang ditawarkan.

Sebelum anda menonton versi penuh filem fenomena ini boleh saksikan treler rasmi filem yang mendapat tontonan 4.15 juta selepas hanya tiga jam dilancarkan.