Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

‘The Art of Racing In The Rain’ : Filem di Luar Jangkaan!

Seni Shah Shamshiri 26-Ogo-2019

Kisah haiwan peliharaan memang sudah sering dijadikan jalan cerita dan diangkat ke layar perak. Di Hollywood sendiri, sudah banyak filem-filem sedemikian rupa yang diterbitkan dan beberapa watak haiwan peliharaan ini sememangnya terkenal dalam dunia hiburan.

Dari anjing ke gajah, lumba-lumba, sampailah ke paus pembunuh, segala macam haiwan telah dijadikan tulang belakang kisah-kisah terkenal dalam filem antarabangsa.

Apatah lagi cerita yang menggunakan anjing sebagai watak utama. Namun, kisah yang dipaparkan dalam ‘The Art of Racing In The Rain’ bukanlah kisah haiwan peliharaan yang biasa.

Bermula dari nama filemnya sahaja, ramai yang sudah tertanya-tanya tentang kisah sebenar di balik judulnya. Sedutan filem ini juga pada mulanya tidak memberikan gambaran yang tepat tentang mesej yang ingin diaparkan. Sekali imbas selepas menonton treler filem, pasti ramai yang bersangka bahawa ia hanyalah filem biasa atau komedi yang memaparkan seekor anjing sebagai peneraju utama.

Ternyata, selepas menonton filem ini, tanggapan kami di SalamToday meleset sama sekali. ‘The Art of Racing In The Rain’ sebenarnya sebuah filem yang menakjubkan dengan jalan cerita yang kukuh serta mesej yang begitu jitu sekali.

Biarpun filem diceritakan dari perspektif seekor anjing bernama Enzo, ia berbeza dari filem-filem lain yang menampilkan haiwan sebagai watak utama.

Filem yang diangkat dari sebuah novel dengan judul yang sama ini, mengisahkan Enzo seekor anjing yang dibela oleh seorang pelumba kereta bernama Denny yang menceritakan kisah hidupnya sepanjang dibela oleh Denny dari zaman bujangnya hinggalah dia berkahwin dan berkeluarga.

Menariknya, kisah hidup Enzo tidak dijadikan tunjang penceritaan, tapi perjalanan hidup Denny yang mencuri perhatian. Ia menunjukkan susah senang kehidupan yang perlu dilalui manusia zaman sekarang. Dari kepayahan menyara kehidupan sehinggalah konflik keluarga yang perlu dilalui oleh ramai orang, semuanya ada diterapkan dalam alur cerita filem ini.

 

Tidak ketinggalan, ia juga memaparkan pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh sesetengah orang untuk mencapai apa yang mereka idamkan. Terdapat babak-babak sedih lagi menyayat hati yang pasti akan membuat penonton berfikir tentang erti hidup masing-masing selain adegan-adegan lucu dan gembira untuk melengkapkan penceritaan.

Yang pasti, lakonlayar serta skrip filem ini layak diberi pujian kerana ia benar-benar lain daripada yang lain dan mempunyai pesanan yang begitu kuat. Malah ia menawarkan sesuatu yang lebih daripada jangkaan penonton.

Ditambah pula dengan lakonan mantap bintang-bintang ternama Hollywood seperti Milo Ventimiglia serta Amanda Seyfried, filem ini harus masuk dalam senarai wajib tonton anda! Kami di SalamToday sangat mengesyorkan filem ini.

‘The Art of Racing In The Rain’ bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 29 Ogos ini.