The Curse of The Weeping Woman Karya Terbaru James Wan

Buat penggemar filem seram dari barat, jangan lepaskan peluang untuk menonton karya terbaru terbitan tokoh filem ternama James Wan yang berjudul The Curse of The Weeping Woman.

Seperti filem-filem seram yang pernah diarah oleh James sebelum ini, kisah yang dipaparkan dalam The Curse of The Weeping Woman merupakan sebuah cerita yang digarap daripada sebuah legenda lama komuniti Latin Amerika.

Legenda tersebut menceritakan kisah roh jahat seorang wanita menangis yang memburu anak-anak kecil kerana menyesali perbuatan kejamnya sewaktu hidup di mana wanita itu telah melemaskan anak-anaknya sendiri gara-gara perasaan marah terhadap suaminya yang berlaku curang.

Dan dalam filem ini, roh wanita menangis tersebut muncul pada era 1970-an dan mula menghantui kehidupan seorang pekerja sosial bernama Anna Garcia yang juga seorang ibu tunggal beranak dua.

Anna yang cuba menyelesaikan kes dua orang anak kecil yang dikurung oleh ibu mereka tiba-tiba terbabit dalam kemelut si roh wanita menangis tersebut sehingga membahayakan kehidupan kedua anak kandungnya.

Tidak lari dari formula biasa filem-filem seram, The Curse of The Weeping Woman sarat dengan adegan-adegan mencemaskan selain babak-babak yang pasti akan membuat penonton terkejut.

Selain kesan khas yang menarik, cara roh wanita menangis itu dizahirkan di layar perak juga sudah cukup untuk membuat penonton berasa takut dan tidak senang duduk di kerusi masing-masing.

The Curse of The Weeping Woman sudah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 18 April 2019.