‘The Golden Throat’: kisah menarik Qari Sheikh Abdul Basit

Al-Quran Md Wa'iz 09-Nov-2020
QariAbdulBasit
Qari Sheikh Abdul Basit © facebook.com/abdulbasit.abdulsamad

Kebanyakan generasi kini tidak begitu mengenali tokoh Qari yang satu ini iaitu Sheikh Abdul Basit Abdul Samad. Beliau merupakan seorang Qari al-Quran dari Mesir yang sangat terkenal pada zamannya iaitu sekitar tahun 60-an.

Apa yang menarik berkenaan Qari ini?

Kehidupan awal Sheikh Abdul Basit di Mesir

Nama penuh beliau ialah Abdul Basit Muhammad Abdul Samad. Sheikh Abdul Basit dilahirkan pada tahun 1927 dan meninggal dunia pada tahun 1988. Beliau berasal dari sebuah kampung bernama al-Maraazah di kawasan Armant, Mesir.

Sheikh Abdul Basit dibesarkan dalam keluarga yang amat mementingkan pengajian al-Quran. Ayah dan datuknya merupakan seorang penghafaz Quran dan amat mengetahui hukum hakam bacaan Quran.

Guru pengajian al-Quran Sheikh Abdul Basit telah mula mengenalpasti bakatnya setelah mendengar suara dan cara bacaannya yang merdu dan tepat. Abdul Basit tamat menghafaz Quran pada umur 10 tahun dan telah mempelajari tujuh kaedah bacaan Quran pada usia 12 tahun.

Pada usia 14 tahun, beliau telah mempelajari 10 lagi kaedah bacaan al-Quran yang lain. Bermula dari situ, bakatnya sebagai Qari mula dikembangkan sehingga menjadi seorang Qari terkenal.

Memenangi 3 pertandingan tilawah al-Quran

Sheikh Abdul Basit pernah memenangi pertandingan tilawah al-Quran dunia sebanyak tiga kali pada awal tahun 1970-an. Beliau juga merupakan antara penghafaz Quran terawal pada ketika itu yang merakamkan bacaannya dan mengkomersialkannya.

Beliau diiktiraf sebagai antara Qari zaman moden yang bukan sahaja terkenal, malah mempunyai pengaruh yang besar dalam dunia Islam.

Berkelana memperdengarkan bacaan di seluruh dunia

Pada saat namanya sedang meningkat naik, Sheikh Abdul Basit telah hadir ke beberapa buah negara di seluruh dunia atas jemputan bagi memperdengarkan bacaan Al-Quran. Beliau pernah memperdengarkan bacaan Quran di Masjidil Haram, Mekah beberapa kali semasa hidupnya.

Sheikh Abdul Basit juga pernah membaca al-Quran di Masjid Badshahi di Pakistan. Selain itu, beliau juga pernah membacakan Quran di Masjid Nabawi, Masjid Umayyad di Syria dan Masjid al-Aqsa di Palestin.

Beliau juga pernah ke India dan membaca al-Quran di sana sehingga mampu menitiskan air mata orang ramai yang mendengarnya.

Digelar ‘The Golden Throat’

Disebabkan kemampuannya melagukan ayat al-Quran dengan indah, mempunyai nafas yang panjang, dan mempunyai nada yang lunak, Sheikh Abdul Basit digelar sebagai ‘The Golden Throat’.

Ada juga dua lagi gelaran khusus untuk beliau iaitu ‘Voice of Heaven’ dan ‘Voice of Mecca’ sebagai satu pengiktirafan terhadap kelunakan suara yang dimilikinya.

Tokoh Qari tiada tandingan

Sehingga hari ini, ramai yang cuba membaca al-Quran dengan meniru suaranya tetapi masih tiada yang setanding dengannya. Anda boleh cuba mendengar bacaan Quran yang dilagukan oleh Sheikh Abdul Basit melalui saluran YouTube.

Anda pasti akan kagum dengan kemampuannya membaca beberapa ayat al-Quran dengan hanya satu tarikan nafas sahaja. Subhanallah.