The Lion King Tampil Lebih Hebat

Lion King

Filem : The Lion King

Klasifikasi: P13

Tarikh Tayangan: 17 Julai 2019

Genre: Aksi / Pengembaraan

Dibintangi oleh : Donald Glover, Seth Rogen, Chiwetel Ejiofor, Alfre Woodard, Billy Eichner, John Kani, John Oliver, Beyonce Knowles, James Earl Jones

Ulasan :

Filem drama muzikal `live action` ini adalah adaptasi dari filem animasi klasik Disney pada tahun 1994 dengan judul sama.

Ia mengisahkan tentang seekor singa, Simba dan pengembaraannya untuk menjadi Raja Rimba bagi menggantikan ayahnya, Mufasa.

Bagaimanapun, Simba dikhianati oleh pakciknya sendiri Scar. Scar yang sudah lama mengimpikan tahkta raja mengumpan Simba dan sahabat baiknya, Nala ke sarang dubuk untuk dibunuh oleh pemangsa itu.

Namun, rancangan itu gagal sehinggalah terjadinya insiden tragis sehingga memaksa Simba melarikan diri dari Pride Rock.

Jadi apa yang membuatkan Lion King 2019 ini berbaloi untuk ditonton? Jom semak-semak fakta berikut:-

1) Bagi yang pernah menyaksikan Lion King versi 1994, pasti anda dapat melihat terdapat banyak persamaan visual yang ditampilkan.

Contohnya babak di mana ketika Rafiki mengumumkan kelahiran Simba kepada warga rimba, dan babak ketika Simba dimarahi ayahnya selepas dia terselamat daripada serangan dubuk.

2) Filem ini mempertaruhkan Beyonce Knowles-Carter sebagai Nala bagi menarik minat generasi baru untuk ke pawagam.

Biarpun sudah pasti generasi 25 tahun dahulu akan membawa anak-anak mereka pula ke pawagam, namun strategi ini sudah pasti membantu.

3) Akhbar The Daily Telegraph memberikan empat bintang kepada The Lion King. Malah, penulisnya turut memuji kehebatan visual yang dipaparkan. Apa tidaknya imej janaan komputer (CGI) filem ini nampak cukup realistik. Cukup teliti.

4) Penulis akhbar The Independent memuji produksi filem ini kerana berjaya membawa penonton mengimbas kenangan lalu.

Malah penulisnya, Clarisse Loughrey menganggap teknologi yang digunakan untuk The Lion King versi baru ini sebagai sesuatu yang cukup ajaib.

5) Lagu -lagu yang ditampilkan biarpun lagu-lagu lama, namun dengan suntikan nafas baru ia kedengaran lebih segar.

Terutamanya lagu ‘Hakuna Matata’ yang dicipta dan ditulis oleh pemenang Oscar, Sir Elton John dan Sir Tim Rice. ⠀

6) Biarpun The Lion King hanyalah filem animasi, namun mesej yang dicuba disampaikan bukanlah enteng.

Ia mempamerkan kasih-sayang di antara ayah dan anak, semangat setia kawan, nilai kesabaran dan juga pengkhianatan hanya memakan diri sendiri. Semua nilai ini boleh dipelajari oleh kanak-kanak dan juga golongan dewasa.

7) Filem berdurasi 1 jam 58 minit ini tidak jemu untuk ditonton. Resipi yang digunakan adalah secukup rasa.

Dengan latar filem yang menawan, babak-babak yang penuh aksi dan mendebarkan, babak-babak mengusik jiwa serta skor muzik menghiburkan membuat masa yang terluang bagaikan bergerak pantas.

Selamat menonton dan nilaikan sendiri!

Kredit foto : Walt Disney Pictures