Azizulhasni Awang – The Pocket Rocketman

Azizulhasni Awang
Azizulhasni Awang © Mohd Shahjehan Maamin | Dreamstime.com

Mohd Azizulhasni bin Awang merupakan seorang pelumba basikal trek profesional Malaysia. Beliau lebih dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ disebabkan susuk tubuh yang agak kecil. Azizulhasni mula popular selepas berjaya memenangi Kejohanan Trek Asia 2008 dalam acara keirin dan pecut. Beliau telah diberi penghormatan sebagai pembawa bendera negara semasa temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 ketika baru berusia 20 tahun.

Selepas berbulan-bulan dalam tempoh penutupan dan penyekatan di Melbourne, Australia, Azizulhasni akhirnya kembali berlatih di papan kayu Velodrom Joe Ciavola di Melbourne. Beliau berada dalam prestasi yang sangat baik sebelum wabak COVID-19 kerana berjaya membuat masa terbaik beliau dalam Kejohanan Dunia Berlin pada Mac 2020, mengakhiri kempennya di Berlin dengan dua gangsa. Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo ke Julai 2021 juga telah memaksa beliau untuk memperbaiki persiapan latihannya.

Pencapaian terhebat Azizulhasni setakat ini adalah apabila berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016. Beliau juga berjaya menjuarai Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2017 di Hong Kong. Azizulhasni juga merupakan pelumba di tempat pertama dalam senarai kedudukan Persatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam acara keirin bagi tahun 2009 dan 2011. Dalam senarai kedudukan terkini, beliau berada di tangga kedua di belakang pelumba Jepun, Yudai Nitta.

Pencapaian besar yang lain termasuklah menggondol pingat gangsa dalam Sukan Komanwel Glasgow 2014. Di peringkat Asia, beliau telah memenangi pingat emas untuk acara keirin semasa Sukan Asia Guangzhou 2010. Azizul juga memenangi enam gelaran pecut Asia apabila menjuarai kejohanan di Nara (Jepun, 2008), Tenggarong (Indonesia, 2009), Astana (Kazakhstan, 2014), New Delhi (India, 2017), Jakarta (Indonesia, 2019) dan Jincheon (South Korea, 2020). Beliau juga merangkul emas bagi acara keirin di Bangkok (Thailand, 2007), Nara (Jepun, 2008) dan Korat (Thailand, 2015).

Untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan luar biasa beliau dalam sukan berbasikal Malaysia, beliau telah dianugerahkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada tahun 2009, 2010 dan 2017 pada majlis berprestij, Anugerah Sukan Negara.

Mohd Azizulhasni bin Awang dilahirkan pada 5 Januari 1988 di Dungun, Terengganu, Malaysia. Beliau memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Batu 48 dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun. Di peringkat awal, bakat beliau mula dikesan oleh Rozimi Omar, jurulatih lumba basikal era 90-an di pusat latihan di Bukit Pak Sabah, Dungun. Azizulhasni kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil semasa tingkatan empat dan lima.

Beliau merupakan penerima anugerah berprestij biasiswa STAR daripada Yayasan Sime Darby untuk pengajian ijazah sains sukan di Victoria University, Melbourne, Australia. Pada 2015, beliau juga menerima Anugerah Biru Penuh untuk mengiktiraf pencapaian beliau daripada pihak universiti. Anugerah tersebut merupakan julung-julung kali diberi kepada warga bukan Australia.

Pada kejohanan Piala Dunia Trek Manchester 2011, Azizulhasni mencuri perhatian dengan aksi berani apabila meneruskan perlumbaan meskipun terlibat dalam kemalangan. Kemalangan yang melibatkan empat orang pelumba itu mengakibatkan betis beliau tertusuk serpihan kayu sepanjang 20cm. Meskipun begitu, Azizulhasni masih berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk meraih pingat gangsa. Aksi beliau yang enggan menyerah kalah itu mendapat liputan media dari seluruh dunia.

Semasa pertandingan Sukan Komanwel Glasgow 2014, Azizulhasni telah mengundang kontroversi apabila memakai sarung tangan bertulis ‘Save Gaza’. Tindakan beliau adalah atas dasar kemanusiaan dan solidariti ke atas penduduk Gaza atas serangan rejim Zionis. Beliau telah diberi teguran rasmi dan berdepan risiko diusir dari kejohanan berkenaan jika mengulang tindakan pada perlumbaan beliau yang berikutnya. Beliau bagaimanapun telah meminta maaf kepada sesiapa yang menyalahtafsir mesej berkenaan. Mesej berkenaan adalah atas sifat kemanusiaan semata-mata dan bukanlah bermesej politik.

Selepas tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat pada 2017, Azizulhasni juga sanggup meluangkan masa daripada jadual latihan yang sibuk untuk membuat lawatan. Beliau turut melelong sarung tangan yang digunakan semasa Sukan Olimpik Rio 2016 untuk mengumpul dana. Lelongan tersebut berjaya mengumpul dana berjumlah RM5,000 yang didermakan kepada pusat tersebut.

Azizulhasni juga tidak mengabaikan kewajipan untuk berpuasa di bulan Ramadan semasa persediaan ke Sukan Olimpik Rio. Beliau berjaya berpuasa seperti biasa pada minggu pertama Ramadan dan menyesuaikan program latihan beliau sewajarnya. Bagaimanapun beliau menegaskan dalam situasi intensiti latihan yang tinggi beliau tidak berpuasa dan akan menggantikannya selepas kejohanan tamat.

Azizulhasni berkahwin dengan Athiah Ilyana binti Abdul Samat pada 2010. Hasil perkahwinan ini, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata Amna Khadeeja dan Amna Maryan.

Selepas persaraan jaguh badminton negara, Lee Chong Wei, ‘The Pocket Rocketman’ merupakan harapan terbaik Malaysia untuk meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik di temasya yang bakal diadakan di Tokyo pada April 2020. Kejohanan berprestij tersebut merupakan penyertaan keempat beliau selepas Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.