Think Big Big Masuk Pawagam China

Bermula 24 Mei, filem Think Big Big yang diarahkan oleh pengarah prolifik Chiu Keng Guan akan mengegarkan 10,900 buah pawagam di China dengan 60,079 jumlah tayangan.

Syarikat filem terbesar dan berpengaruh di China, China Film Group Corporation bersama syarikat filem lain seperti Huaxia, Film Distribution, Pearl River Pictures dan Beijing National Shadow Film Publishing Co. Ltd. akan menjadi pengedar Think Big Big di sana.

Manakala, bahagian pemasaran akan digerakkan oleh syarikat media Beijing Aoweier Film & TV Culture Communication Co., LTD.

Astro Shaw selaku penerbit  Think Big Big rasa berbesar hati apabila syarikat-syarikat filem terkemuka di China memberi kepercayaan pada naskhah ini sekali gus bersetuju untuk bekerjasama menayangkan filem ini di China.

Penerimaan di peringkat antarabangsa ini membuktikan jalan cerita yang ditampilkan  menerusi filem ini sesuai dengan penonton sasaran universal.

Mengulas tentang perkembangan terbaru ini, pengarah Think Big Big, Chiu Keng Guan memberitahu dia teruja apabila mendapat peluang keemasan tersebut dan berharap filem arahannya itu mendapat sambutan yang baik di kalangan penonton di China.

“Sebagai pengkarya filem di Malaysia, saya teruja apabila mendapat peluang keemasan untuk mempersembahkan Think Big Big buat penggemar dan penonton filem di China. Saya harap filem ini mampu menyentuh perasaan penonton di sana sama seperti mana penonton di Malaysia.”

Di zaman era serba canggih ketika ini, ada segelintir daripada kita yang suka memburu populariti di laman media sosial sehingga mengabaikan nilai-nilai murni. Saya harap elemen kejujuran yang diselitkan di filem ini mampu memupuk kita untuk lebih menghargai masa bersama keluarga dan rakan-rakan serta menghargai diri sendiri,” ujarnya.

Filem terbitan Astro Shaw, Golden Screen Cinemas, Multimedia Entertainment & MM2 Entertainment ini telah ditayangkan di pawagam tanah air dan Brunei pada Februari tahun lalu dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM5.4 juta.

Think Big Big dibintangi oleh bekas Miss Astro, Serene Lim dan Vivienne Oon, penyanyi Ruby Yap, Moon Yoong,  Joanne Lau dan Keigrey Kam.

Filem yang mengangkat tema hargai diri seadanya dan persahabatan ini  menceritakan tentang seorang gadis bertubuh ‘comel’ bernama Moon, yang mempunyai impian untuk menjadi seorang angkasawan.

Dia hidup gembira, dan bekerja sebagai maskot. Tetapi beban hutangnya semakin banyak sehingga memaksanya untuk menyertai pertandingan mengurangkan berat badan yang memerlukannya berkongsi perjalanan proses itu di media sosial.

Kredit foto : https://www.facebook.com/bigbig.my/