Tiada kawan baik? Jadilah kawan sebegitu!

Kehidupan Tari Basir 20-Okt-2020
dreamstime_s_105401158
Tiada kawan baik? Jadilah kawan sebegitu! © Albertshakirov | Dreamstime.com

Zaman kanak-kanak merupakan antara zaman yang terbaik dalam kehidupan manusia. Antaranya kerana pada ketika itu manusia masih lagi bersih umpama kain putih, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW:

“Anak itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi ataupun Majusi.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebersihan manusia pada zaman kanak-kanaknya umpama kain putih. Ini adalah kerana kanak-kanak masih lagi tidak mengenal dan merasai kesakitan pada hati, seperti kehilangan orang yang tersayang, dicerca masyarakat setempat dan sebagainya. Manusia pada zaman kanak-kanaknya hanya mahu bermain siang dan malam, tanpa mengenal erti penat.

Selain itu juga, memiliki persekitaran yang sentiasa dipenuhi oleh kawan-kawan, seperti teman sepermainan dan rakan sekelas merupakan antara sebab yang lainnya. Walaupun kadangkalanya bergaduh seperti berebut alat permainan dan sebagainya. Namun pada esok hari, manusia akan kembali bermain bersama-sama seakan-akan tiada perkara yang berlaku.

Sudah tentu, kebersihan kain putih manusia pada zaman kanak-kanak ialah kerana ia masih belum dicemari oleh sebarang kekotoran kesakitan hati. Malah, kehidupan diwarnai oleh kawan-kawan yang setia bermain bersama. Ini sangat dirindui oleh manusia apabila memasuki alam dewasa.

Realiti alam dewasa, kawan semakin kurang

Apabila memasuki alam dewasa, kebersihan kain putih itu perlahan-lahan mula dikotori dengan lumpur kesakitan hati. Sehinggalah akhirnya merah berdarah dek hati yang terluka. Kehilangan insan yang tersayang sama ada dalam percintaan mahupun dalam persahabatan antara kotoran yang menghilangkan kebersihan kain putih tersebut.

Apatah lagi bila insan yang bernama kawan, di mana dirinya dipercayai manusia dan sentiasa bergelak ketawa membina memori bahagia. Akhirnya mengkhianati janji persahabatan dan menjadi musuh, membina mimpi ngeri.

Namun sebagai makhluk Allah SWT yang terbaik, manusia cepat beradaptasi dengan pengkhianatan serta kewujudan kawan yang datang dan pergi dalam kehidupan. Sehingga pada satu tahap, manusia tidak lagi kisah terhadapnya. Malah mencuba sedaya upaya untuk membersihkan kembali kain putihnya yang dahulunya kotor teruk, walaupun hidup bersendirian tanpa dikelilingi manusia lain yang bernama kawan.

Bagaimana menjadi seorang kawan yang baik?

Sebenarnya, menjadi kawan yang baik bukanlah sesuatu perkara yang sukar, selagimana manusia ikhlas dalam membina persahabatan dan bukannya kerana agenda kepentingan diri sendiri yang tersembunyi.

Malahan, walaupun manusia tidak memiliki kawan yang ramai atau tidak memilikinya walau seorang pun, ia tetap bukanlah penghalang untuk dirinya untuk menjadi kawan yang baik, jauh lagi daripada menjadi kawan yang jahat sebagai membalas kesakitan yang pernah dirasainya dahulu.

Apabila menyentuh istilah ‘kawan’, ia tidak semestinya seorang yang rapat dengan manusia. ‘Kawan’ juga boleh jadi sekelompok manusia yang berada dekat dengannya seperti kawan sekelas, seperjabat dan sebagainya.

Oleh itu, dalam ratusan cara menjadi seorang kawan yang baik, sebenarnya ia tersimpul dalam hadith Nabi Muhammad SAW iaitu:

“Barangsiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

(Muttafaqun ‘alaih)

Tidak mahu kawannya menghina dirinya, maka jangan menghina kawannya. Mahu dibantu oleh kawannya, maka bantulah kawannya. Tidak mahu dikhianati, maka jangan mengkhianati kawannya!

Oleh itu, mulakanlah dahulu dengan berbuat baik kepada semua manusia. Sudah pastinya ini termasuk kepada kawan, walaupun mungkin kebaikan tersebut tidak dibalasi. Kerana yang penting bukanlah memiliki kawan yang baik, namun menjadi seorang kawan yang baik.

Percayalah, Allah SWT pasti mengganjarinya dengan kehadiran kawan yang baik lagi setia.