Tiang agama: Bagaimana solat menjaga fizikal dan mental kita?

Solat Adea Ghafar
Siti Suriani Othman
Tiang agama: Bagaimana solat menjaga fizikal dan mental kita?
Tiang agama: Bagaimana solat menjaga fizikal dan mental kita? © Odua | Dreamstime.com

Tiang agama: Bagaimana solat menjaga fizikal dan mental kita? Artikel ini akan membincangkan kepentingan menjaga solat dalam kalangan umat Islam.

Ia turut membincangkan tentang kepentingan solat daripada perspektif sains kesihatan, iaitu berkaitan pergerakan fizikal dan kesan solat kepada minda manusia.

Kepentingan solat dalam Islam

Solat adalah rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan selepas mengucap dua kalimah syahadah. Solat diwajibkan kepada umat Islam setelah Rasulullah SAW mengalami peristiwa besar Israk dan Mikraj.

Dalam al-Quran telah dinyatakan dengan jelas kewajiban mendirikan solat dan hikmahnya sebagaimana disebut dalam surah al-Ankabut, ayat 45:

“Dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”

Solat juga bukan hanya mencegah kemungkaran tetapi turut mensucikan diri seseorang, dalaman dan luaran sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

“Jika ada suatu sungai di depan rumah seorang yang di situ dia mandi lima kali dalam sehari, masihkah ada kotoran pada dirinya?” Para sahabat menjawab: “Tidak ada sedikit pun kotoran yang tersisa pada dirinya”. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Begitulah perumpamaan sembahyang fardu lima waktu yang dengannya Allah menghapus dosa orang yang mengerjakannya.”

Kelebihan solat dari perspektif sains – kesihatan fizikal

Pergerakan dalam solat menyamai senaman dan diakui saintis meningkatkan pengaliran oksigen ke otak manusia. Ini memberi impak peningkatan kecerdasan otak dan mengurangkan kadar denyutan jantung di samping membantu merawat sakit pinggang.

Saintis di seluruh dunia mengakui pergerakan dalam solat adalah baik untuk kesihatan. Antaranya, ia membantu pemulihan penyakit sendi dan tulang serta menurunkan kandungan lemak dalam badan.

Lemak yang berkurangan dalam badan membantu meningkatkan tisu otot, dan melambatkan proses penuaan dan pengenduran tisu. Pergerakan solat juga membantu menjaga kesihatan jantung. Pengaliran darah yang baik meningkatkan metabolisme badan sekaligus menjaga jantung.

Kesihatan mental – solat beri ketenangan dalam minda 

Dalam satu kajian berkenaan kesihatan mental yang pernah dijalankan oleh saintis Malaysia, solat boleh memberi ketenangan dalam minda manusia. Kajian juga mendapati bahawa solat yang sempurna membantu meningkatkan tumpuan dan daya ingatan seseorang.

Mereka menjadi lebih fokus dan berupaya melaksanakan tugas yang lebih berat dan kompleks. Namun, kelebihan-kelebihan ini hanya dicapai menerusi pergerakan solat yang sempurna.

Selain itu, untuk mencapai kecemerlangan iman, solat haruslah dilaksanakan dengan kusyuk, dengan bacaan yang tepat dan dihayati maksudnya. Jaga solat, jaga tiang agama maka ia akan menjaga kita – fizikal, mental dan spiritual dan di Akhirat kelak.