Tidak Bangun Solat Subuh Kerana Di Kencing Syaitan?

Ramadan Kareem background.Mosque window

Mungkin anda pernah mendengar dakwaan yang mengatakan apabila seseorang itu tidak sedar untuk menunaikan solat Subuh, dia sebenarnya telah dikencing oleh syaitan.

Persoalannya benarkah itu yang berlaku? Atau ia hanya sekadar momokan orang-orang tua dahulu untuk memastikan anak-anak bingkas bangun untuk menunaikan solat Subuh?

Berdasarkan entri di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sememangnya terdapat di dalam hadith yang sahih bahawa orang yang tidur dan tidak bangun untuk menunaikan solat Subuh adalah disebabkan telah dikencing oleh syaitan. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA berkata:

Diceritakan kepada Rasulullah SAW terdapat seorang lelaki yang telah tidur sehingga berlalu waktu Subuh, lalu Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:

“Lelaki itu telah dikencing oleh syaitan di kedua telinganya.” Atau Baginda SAW bersabda: “Di telinganya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini di dalam bab orang yang tidur dan tidak mengerjakan solat disebabkan telah kencing oleh syaitan di telinganya.

Hadith ini menunjukkan kinayah bahawa syaitan telah menutup telinga orang yang tidur daripada solat (tidak mengerjakannya) sehingga dia tidak mendengar seruan azan dan dikatakan juga bahawa maknanya adalah syaitan telah memenuhkan telinganya dengan perkara-perkara batil maka terhijab telinganya daripada mendengar seruan azan.

Ingat! Solat itu adalah adalah tiang agama. Seperti yang telah dikhabarkan oleh Rasullulah S.A.W, solat merupakan perkara yang pertama akan dihisab di akhirat kelak. Jadi, jangan sesekali meninggalkan solat. Lebih-lebih lagi dengan sengaja!