Tidak berpuasa atau berbuka kerana uzur

Puasa 04 Mei 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Terkini oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Tidak berpuasa atau berbuka kerana uzur
Tidak berpuasa atau berbuka kerana uzur © Odua | Dreamstime.com

Artikel ini akan mengingatkan pembaca kepada masalah tidak berpuasa kerana masalah kesihatan, yang dipanggil sebagai uzur, dan sebab-sebab lain yang dibenarkan. Keringanan puasa Ramadan bagi orang yang uzur (atau dibenarkan untuk tidak berpuasa) ini telah dibenarkan oleh Allah SWT.

Berpuasa bagi orang yang uzur

Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Hukum berpuasa di bulan Ramadan adalah wajib dikerjakan kerana ia merupakan sebahagian dari Rukun Islam. Walaupun ibadah puasa di bulan Ramadan adalah wajib, akan tetapi terdapat golongan yang tidak diwajibkan atau dikecualikan untuk berpuasa. Contohnya, orang yang terlalu tua atau terlalu uzur untuk melaksanakan ibadah puasa.

Berbukanya orang yang lanjut usia dan yang sakit

Mereka tidak perlu menggantikan puasa, malah perlu membayar fidyah mengikut jumlah hari yang yang telah ditinggalkan.

“Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, yaitu memberi makan seorang miskin.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 184)

Puasa orang yang hamil

Manakala bagi orang yang hamil pula, bertepatan dengan satu riwayat:

“Diriwayatkan dari Nafi’, bahawa Ibnu Umar r.a pernah ditanya tentang wanita hamil yang khuatir terhadap anaknya (jika puasa). Beliau menjawab, “Dia boleh berbuka dan memberi makan orang miskin dengan satu mud gandum halus sebanyak hari yang dia tinggalkan.”

(Hadis riwayat Baihaqi)

Bagi orang sakit dan dalam perjalanan

Firman Allah SWT:

“(Iaitu) beberapa hari tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi barangsiapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 184)

Sebagai terjemahan, bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).

Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.

Allah  SWT menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.

Bagi mereka yang dalam perjalanan (musafir) juga dibolehkan untuk tidak berpuasa akan tetapi wajib menggantikannya semula. Sesungguhnya, Allah SWT tidak pernah membebani hamba-Nya diluar kemampuannya berdasarkan firman Allah:

“Bahawa Allah tidak membebani seseorang diluar kemampuannya.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 286)