Tidak boleh samakan kedudukan dan pengorbanan guru dengan ibu bapa

Keluarga 18 Mac 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Pendapat oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Tidak boleh samakan kedudukan dan pengorbanan guru dengan ibu bapa
Tidak boleh samakan kedudukan dan pengorbanan guru dengan ibu bapa © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Artikel ‘Tidak Menyamakan Kedudukan dan Pengorbanan Seorang Guru dengan Ibu Bapa’ ini membincangkan tentang kedudukan dan pengorbanan yang dilakukan oleh seorang guru tidak akan boleh disamakan dengan siapa pun status ibu bapa seseorang.

Siapapun kita sebagai ibu bapa, tidak boleh disamakan kedudukan dan pengorbanan guru di sekolah. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

 “Dunia ini dan seisinya adalah laknat kecuali mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah, 4112 dan at-Tirmidzi, 2322)

Kedudukan guru dalam Islam

Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi rahimahullah, Umar bin al-Khattab r.a mengatakan:

“Tawadhu’lah kalian terhadap orang yang mengajari kalian.”

Kedudukan dan pengorbanan kita terhadap guru dalam Islam ada dikongsikan oleh Ar-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi, seorang imam dan murid terkemuka kepada Imam al-Syafi’e. Beliau berkata:

“Demi Allah, aku tidak berani meminum air dalam keadaan al-Syafi’e melihatku kerana segan kepadanya.”

Manakala Imam al-Syafi’e rahimahullah berkata;

“Dulu aku membolak-balikkan kertas di depan gurunya (Imam Malik) dengan sangat lembut kerana segan kepadanya dan supaya dia tidak mendengarnya.”

Lihatlah, ternyata dari perkongsian hadis-hadis ini, Islam amat menyeru untuk menghormati guru-guru kita. Betapa Allah Taala memuliakan dan mengangkat martabat seorang guru.

Sehinggakan Ar-Rabi’ tidak berani minum air di hadapan gurunya. Manakala Imam As-Syafi’e membelek helaian kertas dengan sangat lembut supaya tidak mengganggu gurunya.

Tidak merasa diri lebih hebat

Kita hendaklah menjauhi dari merasa diri lebih hebat. Walau siapa atau apapun pekerjaan kita, adab dan hormat guru sangatlah dianjurkan dalam Islam. Ini boleh menyebabkan kita terjebak dengan penyakit hati iaitu takabbur.

Penyakit hati ini biasanya bila kita berasa kita lebih dari segi kedudukan, nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, mempunyai kelebihan ilmu yang tiada pada orang lain, ramai pengikut dan banyak ibadat.

Sebagai konklusi, Islam tidak menyeru untuk membuat perbezaan atau membezakan kebolehan seseorang guru. Islam juga melaknat sesiapa yang merendahkan martabat guru kerana guru bukanlah hanya sebuah profesyen akan tetapi seorang yang mendidik dan menabur bakti dalam melahirkan generasi rabbani.