Tidak semua perkara dalam kehidupan perlu penjelasan

Kehidupan Nur Adibah Ramly 16-Sep-2020
dreamstime_s_145647318
Bukan semua perkara perlu penjelasan © Eptian Savero Fitrahnsa | Dreamstime.com

Sepanjang perjalanan kehidupan ini, kita perlu memahami bahawa kita tidak akan selalu mendapat penjelasan untuk setiap perkara yang berlaku.  Dalam kalangan kita, ada yang mempunyai ahli keluarga atau rakan yang meninggalkan kehidupan kita  tanpa memberi sebarang penjelasan. Bagi segelintir yang lain pula, kita mungkin mengenali seseorang yang mempunyai masalah tetapi mereka sendiri tidak mengetahui apakah puncanya.

Sebahagian daripada kita mungkin berkelakukan positif terhadap orang lain tetapi tidak mendapat layanan yang sama sebagai balasannya. Kita boleh mengharungi perkara sebegini sepanjang kehidupan tanpa memerlukan penjelasan. Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak berpengetahuan tentang semua perkara, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Hidup ini sementara dan telah ditentukan Allah SWT sebagai ujian. Oleh itu, akan ada perkara yang berlaku dalam kehidupan yang tidak  membuat kita gembira. Perkara yang berdasarkan kepada pengalaman  tetapi ia akan menyebabkan kita berasa keliru.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Bagi  yang mempunyai ahli keluarga atau rakan-rakan yang telah meninggalkan anda tanpa sebarang penjelasan, penting untuk diingatkan bahawa jangan biarkan harapan hilang begitu sahaja. Sebagai umat Islam, anda hendaklah mempercayai bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Anda harus memiliki keyakinan terhadap diri  untuk mengatasi situasi di saat kehilangan dan kebingungan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.” (Surah al-Anfaal, ayat 30)

Inilah sebabnya betapa pentingnya kita sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Allah SWT, kerana Dia adalah satu-satunya yang boleh kita harapkan. Setiap orang pasti akan datang dan pergi dalam kehidupan kita, tetapi Allah adalah kekal. Oleh itu bertawakallah kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?” (Surah Fushshilat, ayat 53)

Apabila kita meletakkan pergantungan penuh kepada Allah SWT, maka kita akan lebih fokus untuk mempraktikkan agama dengan betul. Kita lebih berhati-hati mengikuti garis panduan agama berbanding terlalu bimbang akan  orang lain – walau siapa pun mereka.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Surah al-An’Aam, ayat 162)

Allah SWT juga berfirman yang maksudnya: “Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah ath-Thalaaq, ayat 3)