Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Tidak susah buat Falafel, hidangan sihat Timur Tengah

Timur Tengah 18 Nov 2020
bbcgoodfood.com-falafel
bbcgoodfood.com

Terdapat satu hidangan dari Timur Tengah yang bukan sahaja enak, tetapi amat sihat. Ia diperbuat daripada kacang kuda dan tinggi kandungan serat. Hidangan ini disebut sebagai falafel.

Mengapa falafel boleh dikatakan sebagai hidangan yang sihat?

Falafel kaya dengan sumber serat

Tahukah anda, bahan utama untuk membuat falafel ini adalah kacang kuda, dan sekaligus menjadikan hidangan ini kaya dengan sumber serat dan protein berasaskan tumbuhan.

Disebabkan ia kaya dengan kandungan serat, ia boleh membuatkan anda berasa kenyang dengan lebih lama sepanjang hari. Selain itu, serat dan juga protein yang terdapat dalam falafel ini telah terbukti mengurangkan penghasilan hormon penyebab rasa lapar iaitu ghrelin dan menggalakkan penghasilan hormon kenyang seperti kolesistokinin.

Disebabkan kandungan serat yang tinggi, falafel boleh membantu meningkatkan fungsi usus selain mengurangkan penyerapan kolesterol dan juga gula mudah (simple sugars).

Bagi setiap satu cawan kacang kuda yang digunakan untuk membuat falafel, ia mengandungi sekitar 4 gram lemak, 15 gram protein dan 12.5 gram serat. Terdapat juga nutrisi lain iaitu vitamin B dan mineral seperti zat besi, kalium, zink dan magnesium yang amat diperlukan untuk fungsi tubuh badan anda.

Ini resepi falafel yang mudah dan juga enak

Untuk membuat falafel, ia tidaklah sesukar yang disangka. Anda hanya memerlukan bahan-bahan yang betul, dan ia boleh dibuat dalam waktu yang singkat.

Berikut adalah bahan-bahan yang anda perlukan:

  • 425 gram kacang kuda yang telah siap direbus
  • 4 ulas bawang putih
  • Setengah cawan bawang yang dicincang
  • 4 sudu besar daun ketumbar yang telah dicincang
  • 1 sudu besar minyak masak atau minyak zaitun
  • 3 sudu besar tepung gandum
  • 2 sudu besar jus lemon
  • 1 sudu teh serbuk jintan
  • 1 susu teh serbuk ketumbar
  • Sedikit garam
  • Sedikit lada hitam

Cara membuatnya:

  1. Panaskan ketuhar dengan suhu 200 darjah Celsius
  2. Masukkan kesemua bahan tadi kedalam pengisar makanan. Kisar kesemuanya sehingga menjadi sebati
  3. Ambil sedikit bahan yang telah dikisar tadi dan bentukkannya menjadi bebola kecil. Susun di atas dulang ketuhar
  4. Masukkan bebola adunan tadi ke dalam ketuhar dan bakar selama lebih kurang 10 hingga 12 minit. Kemudian, terbalikkan adunan tadi dan bakarnya lagi sehingga menjadi agak garing
  5. Keluarkan daripada ketuhar dan hidangkannya bersama roti pita bersama sos yang diingini seperti mayonis atau yogurt

Boleh dibakar, boleh juga digoreng

Jika mengikut resepi asal, pada kebiasaannya falafel ini digoreng dalam minyak yang banyak atau secara deep fry. Namun, untuk pilihan falafel yang lebih sihat, kami menyarankan anda untuk membakarnya di dalam ketuhar atau boleh juga menggorengnya dengan menggunakan minyak yang sedikit sahaja.

Ini bagi memastikan nutrisi falafel tersebut dapat dikekalkan saat anda menikmatinya.