Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Tidak Terlalu Lewat Belajar Berselawat

Sahsiah Ili Farhana 07-Nov-2019

Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: “Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: “Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam).”

Sebagai manusia biasa, kita sering memberikan penghormatan dan mengucapkan terima kasih serta berdoa yang baik-baik kepada mereka yang telah membantu kita atau orang yang telah berjasa kepada kita. Pernahkah kita terfikir tentang jasa dan pengorbanan Rasullullah kesayangan kita, Nabi Muhammad SAW dan bagaimana kita berterima kasih dan memberi penghormatan kepada baginda?

Di bulan Rabi’ul Awal, bulan kelahiran baginda, pasti banyak acara maulid dan tazkirah diadakan, terutama sekali pada 12 Rabi’ul Awal, iaitu hari Maulidur Rasul. Tetapi sedarkah kita bahawa kita tidak perlu menunggu bulan atau hari yang istimewa untuk mendoakan baginda Rasulullah serta menghantar selawat dan salam kepadanya?

 

Kenapa Kita Perlu Berselawat

Baginda ada bersabda: Orang paling dekat kepadaku di akhirat ialah orang paling banyak berselawat untukku. (HR Tirmizi)

Sebagai umat Islam, kita berselawat kepada rasul junjungan kita untuk mengakui bahawa Baginda adalah rahmat terbesar yang dikurniakan daripada Allah azza wa jal kepada kita.

Seperti solat kita merupakan manifestasi rasa syukur, taat dan cinta kita kepada Allah SWT, berselawat kepada Rasulullah SAW adalah tanda cinta, hormat dan penghargaan kita kepada Baginda. Tentunya ibadah kita adalah hanya untuk Allah SWT, dan menyayangi rasul adalah sebahagian daripada ibadah itu.

Mulianya kedudukan baginda Rasulullah berbanding semua makhluk ciptaan Allah, sama ada manusia, malaikat atau jin terlambang dalam firman Allah yang berikut:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi; wahai orang beriman, berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam sejatera dengan penghormatan sepenuhnya!” (Al-Ahzab, 56)

Ya, malaikat juga berselawat dan berdoa buat Baginda. Jadi sudah tentulah kita sebagai manusia digesa dan diwajibkan untuk menghantar selawat dan salam ke atas Baginda. Pasti kita sedar bahawa nama Rasulullah SAW banyak disebutkan seiring dengan nama Allah SWT sendiri, seperti di dalam syahadah, azan dan tasyahud solat. Selawat juga merupakan antara rukun dalam khutbah Jumaat dan dalam ibadat lainnya. Selawat wajib dibaca setiap kali memula dan mengakhiri doa.

Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisa sirruhu ada menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun melalui kitab Hadaiq al-Anwa berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu mempunyai 42 kelebihan. Antara kelebihan berikut adalah:

  1. Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).
  2. Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.
  3. Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.
  4. Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.
  5. Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.
  6. Mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.

Bila Kita Digalakkan Berselawat?

Antara waktu-waktu yang digalakkan untuk kita berselawat adalah seperti berikut:

 

1. Selepas azan. Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan

Daripada Abdillah bin ‘Amr bin ‘Asr RA, sesunguhnya dia mendengar Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar muazdin, maka ucapkanlah sepertimana yang sedang diucapkan oleh muadzin. Kemudian berselawatlah kamu ke atasku kerana barangsiapa yang berselawat je atasku engan satu selawat maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh (10 kali selawat). Setelah itu, mohonlah  (doalah) kepada Allah terhadapku sebagai wasilah kerana ia merupakan salah satu tempat (kedudukan di dalam Syurga) yang mana ia tidak layak untuk sesiapapun melainkan buat hamba-hamba Allah. Aku mengharapkan agar aku adalah orang tersebut (yang layak di kedudukan tersebut di dalam Syurga kelak). Maka barangsiapa yang memohon kepadaku wasilah maka layaklah baginya untuk mendapatkan syafaat (syafaat Nabi SAW).” [Riwayat Muslim (384)]

 

Menurut Imam al-Nawawi bahawa hadith ini menunjukkan sunat berselawat ke atas Nabi SAW selepas daripada selesai menjawab azan. Di samping itu juga, sunat seseorang itu berdoa atau memohon wasilah kepada Nabi SAW. Tambahan pula, sunat juga bagi orang yang mendengar azan untuk menjawab setiap daripada perkataan-perkataan muadzin itu selepas daripada muadzin selesai menyebutnya dan dengan tidak menunggu lama untuk menjawabnya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 87/4]

2. Sewaktu memasuki dan meninggalkan masjid.

3. Setiap hari Jumaat.

Daripada Abu Aus bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti).

4. Setiap kali kita mendengar nama Rasulullah SAW disebutkan.

5. Setiap kali kita membaca zikir pagi dan petang (adhkar pagi dan petang)

 

Sumber: Laman Web Mufti Negeri Sembilan

Laman Web JAKIM

Berita Harian

Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan

Muslim Matters

Gambar: Adli Wahid di Unsplash

Yasmine Arfaoui di Unsplash

 

 

Related articles
Pendapat Pendapat
MAS
Kolumnis

Konsisten. Cuba untuk mula tidur pada masa yang sama setiap malam dan bangun pada waktu yang sama setiap pagi. Termasuk ketika hujung minggu. Tubuh manusia gemarkan rutin dan akan mampu menjangkakannya jika kita memiliki dengan rutin tidur yang teratur. Sebagai peringatan cuba tetapkan penggera pada telefon untuk berbunyi 30 minit sebelum memulakan rutin bertenang (wind-down).

Teruskan Teruskan
Pendapat Pendapat
MAS
Kolumnis

Penyongsangan sangat berguna untuk mencabar kepercayaan kita. Ia memaksa kita untuk menimbangkan hujah-hujah yang bertentangan. Penyongsangan menghalang kita daripada terus membuat keputusan sejurus selepas kesimpulan awal. Ia adalah satu teknik untuk mengatasi kecenderungan yang berat sebelah (confirmation bias).

Teruskan Teruskan
Pendapat Pendapat
Adea Ghafar
Adea Agi
Kolumnis

Bagaimana caranya kita boleh hidup sihat dalam bahagia? Sebagai tambahan kepada memiliki warisan baka atau genetik yang subur, kehidupan yang sihat dan bahagia bergantung pada tabiat dan minda yang baik. Ia tidak boleh dicapai secara tidak sengaja. Dengan pengamalan kepercayaan dan ajaran Islam, contohnya memupuk sikap positif, beribadat, sifat bertanggungjawab dan mempunyai nilai moral - seseorang itu pada dasarnya telah mengamalkan tabiat dan minda yang baik dan dapat mengekalkan kesejahteraan psikologi melalui kebahagiaan iman.

Teruskan Teruskan
Kepercayaan Adea Ghafar 23-Jan-2020 Menyemai rasa cinta kasih keluarga