Tidur berkualiti bantu cergaskan badan, cerdaskan minda

Kesihatan 02 Mei 2021 Siti Suriani Othman
Terkini oleh Siti Suriani Othman
Tidur berkualiti bantu cergaskan badan, cerdaskan minda
Tidur berkualiti bantu cergaskan badan, cerdaskan minda © Mohd Faizal Mohd Shaupi | Dreamstime.com

Tidur berkualiti bantu cergaskan badan, cerdaskan minda – tulisan ini akan membincangkan kepentingan tidur berkualiti. Tidur yang berkualiti membantu umat Islam mencergaskan badan dan mencerdaskan minda, terutamanya ketika umat Muslim berpuasa sebulan Ramadan.

Mengapakah tidur begitu penting?

Kajian saintifik membuktikan bahawa mereka yang kurang tidur mempunyai dua kali ganda implikasi mati disebabkan oleh sakit jantung atau stroke.

Ini lebih buruk bagi individu yang mempunyai penyakit seperti diabetes, obesiti, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. Responden kajian didapati meninggal dunia lebih awal kerana sering tidur kurang daripada enam jam.

Tidak mendapat tidur yang berkualiti bukanlah sesuatu yang janggal di Amerika. Kajian di negara itu mendapati kualiti tidur rakyatnya adalah rendah, terutama bagi mereka yang berumur 13 hingga 64 tahun. Daripada jumlah ini, 6% mengakui mereka mempunyai masalah tidur hampir setiap malam.

Tidur dalam Islam

Tidur adalah aktiviti fitrah dalam Islam. Sedangkan bumi mempunyai kitaran seharian siang dan malam, begitu juga fitrah manusia. Badan yang penat bekerja perlu diberi rehat, dan tidurlah jawapannya.

Manusia yang menafikan fitrah ini boleh jatuh sakit dan tidak dapat menjalankan tugasan dengan produktif kerana menafikan hak badan mereka.

Dalam Islam juga ada adab-adab tidur yang tertentu yang boleh meningkatkan kualiti tidur. Antaranya ialah mengiring ke sebelah kanan, berwuduk sebelum tidur, tidur di tempat yang bersih dan tidur menghadap kiblat.

Amalan Tidur Rasulullah SAW

Menurut Al-Barra bin Azib r.a, Rasulullah SAW tidur dengan mengiring ke sebelah kanan kemudian membaca:

“Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan mengadapkan wajah ku pada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu dan menyandarkan punggungku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu kecuali kembali kepada-Mu. Aku percaya kepada Kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utuskan.”

Hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a pula menjelaskan amalan Nabi Muhammad SAW sebelum tidur:

“Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua-dua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca: Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Semoga umat Islam sentiasa menjaga tidur. Tidurlah dalam keadaan berkualiti agar tidak lesu keesokan hari untuk beribadah kepada Allah SWT dan terus menjalankan tugas sebagai khalifah yang mengurus alam dengan penuh berkat.