Tidur selepas Subuh, apa amalan Rasulullah SAW pada waktu ini?

Islam untuk Pemula Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Tidur selepas Subuh, apa amalan Rasulullah SAW pada waktu ini?
Tidur selepas Subuh, apa amalan Rasulullah SAW pada waktu ini? © Smoking Lens Studio | Dreamstime.com

Seperti tajuk, artikel ini berkongsikan tentang beberapa kesan tidur selepas waktu Subuh dan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas waktu Subuh.

Sekarang, kita telah pun memasuki bulan Ramadan. Tidak dinafikan, jadual dan rutin asal waktu tidur kita turut berubah.

Tidur selepas Subuh, apa amalan Rasulullah SAW?

Rutin tidur berubah, melainkan bagi mereka yang telah pun membuat persiapan awal menyambut Ramadan. Iaitu dengan sentiasa berpuasa seperti anjuran banyakkan berpuasa dan membuat amal ibadah pada bulan Syaaban.

Momentum ini sangat bagus bagi meneruskan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Ini bagi melatih diri supaya dapat menahan dari melakukan perkara yang lalai atau tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada amalan seharian kita.

Selepas bersahur, elakkan dari tidur. Seperti yang semua maklum, tidur selepas waktu solat Subuh tidak dianjurkan dalam Islam. Ini kerana, waktu selepas Subuh sering dikaitkan dengan pintu rezeki.

Walaupun tiada nas khusus yang menghalang tidur waktu Subuh, akan tetapi Rasulullah SAW sangat menggalakkan untuk menghidupkan amalan selepas waktu Subuh.

Rasulullah SAW mendoakan orang yang berpagi-pagian

Rasulullah mendoakan kepada umatnya yang bekerja di awal pagi supaya beroleh keberkatan, keuntungan dan beroleh kekayaan.

“Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan).”

(Hadis riwayat Abu Daud, 2606; Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih)

Dari hadis ini, kita dapat melihat betapa Rasulullah SAW menitikberatkan pengurusan masa. Lebih-lebih lagi urusan keluar mencari rezeki lebih baik jika diuruskan pada waktu pagi. Dengan kata istilah lain ialah ‘berpagi-pagian’.

Ini kerana, waktu subuh adalah waktu Allah SWT menurunkan rezeki kepada hamba-hambanya. Amalan Nabi Muhammad SAW berwirid selepas subuh sehingga terbit matahari membuktikan bahawa Nabi tidak tidur selepas subuh.

Larangan tidur selepas subuh

Larangan tidur selepas subuh dikatakan boleh menjadi penyebab kepada mewarisi kepapaan dan kemiskinan. Orang berniaga digalakkan keluar di awal pagi, kerana pelanggan atau pembeli akan keluar di awal waktu pagi untuk mencari rezeki.

Antara kesan negatif tidur selepas solat subuh juga akan menyebabkan badan menjadi lemah dan tidak bermaya. Ini kerana udara pagi sepatutnya dapat menyegarkan tubuh badan. Jika kita tidur selepas waktu ini, bagaimana untuk kita mendapatkan khasiat udara pada waktu pagi.

Hadis riwayat at-Tirmidzi, 585 dalam Sunannya mengatakan yang menurut beliau (hadis ini hasan sahih):

“Adalah Nabi Muhammad SAW apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit.”

Rasulullah SAW tidak amalkan tidur selepas Subuh

Selain itu, Rasulullah SAW melihat anaknya Fatimah r.a berbaring selepas solat Subuh, lalu Baginda bersabda maksudnya:

“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki tuhanmu dan janganlah engkau jadi daripada kalangan orang yang lalai. Sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbitnya fajar sehingga terbitnya matahari.”

(Hadis riwayat Al-Baihaki)

Secara kesimpulan, melihat kepada amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, ternyata Baginda tidak mengamalkan tidur selepas Subuh dan melarang amalan tidur selepas Subuh.

Apatah lagi, sekarang kita sedang berada di bulan Ramadan yang sepatutnya kita gandakan amalan dengan amal-amalan seperti banyakkan membaca Al-Quran.

Allah SWT menghantar rezeki kepada hambanya di antara terbitnya fajar sehingga terbitnya matahari. Amalan tidur selepas Subuh hanya mengundang kerugian selain dari tergolong dalam golongan orang yang lalai.