Tiga air terjun menarik di Kelantan

Alam Sekitar Hagnas
Terkini oleh Hagnas
Tiga air terjun menarik di Kelantan
Tiga air terjun menarik di Kelantan (foto: Air Terjun Jelawang) © Arahmanmtaigi | Dreamstime.com

Negeri Kelantan yang mempunyai keluasan 14,922 km², dan terletak pantai timur Semenanjung Malaysia ini mempunyai banyak tempat pelancongan. Ada banyak tarikan semulajadi berupa pantai, gunung dan air terjun yang menjadi tarikan pelancong ke negeri Serambi Mekah ini.

Artikel ini akan memaparkan tiga tarikan semulajadi air terjun yang cantik dan bersih di Kelantan.

Air Terjun Jelawang

Air Terjun Jelawang terletak dalam hutan simpan Gunung Stong di bawah jajahan Kuala Kerai. Ia terbina daripada batu-batu granit yang dinamakan Granit Banjaran Utama. Dikatakan, air terjun ini adalah yang tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 303 meter iaitu bersamaan dengan 1414 kaki dari aras laut.

Air terjun ini mempunyai tujuh tingkat dan ramai pengunjung yang mendakinya. Jika mendaki hingga Kem Baha, anda boleh menyaksikan lantai awan iaitu awan yang nampak begitu dekat dengan kita.

Terdapat juga sebahagian pengunjung yang hanya ingin berehat-rehat di musim cuti. Mereka menyewa resort di sini serta berkelah di kaki air terjun sahaja. Ada tersedia kemudahan awam seperti surau, dewan, tempat penginapan, tandas dan pondok kecil.

Banyak flora fauna yang menarik di kawasan ini. Terdapat juga Gajah Asia, Seladang, Burung Merak Argus, Harimau Malaya dan Tapir.

Air Terjun Lata Beringin

Panorama hutan dan sungai kecil beserta air terjun di Lata Beringin yang mengalir sangat menenangkan perasaan. Air terjun ini terletak di Kuala Kerai, Kelantan dan merupakan lokasi mandi manda yang terkenal.

Kecantikan air terjun dan kesejukan udara di sini menjadikan suasana nyaman dan sangat kondusif untuk bercuti dan melarikan diri dari hiruk pikuk kota. Pengunjung juga dibenarkan untuk memancing ikan di sini.

Air Terjun Jeram Pasu

Air terjun Jeram Pasu ini terletak di Pasir Puteh, Kelantan. Kawasan ini sangat bersih dan terjaga. Terdapat kemudahan-kemudahan asas disediakan untuk pengunjung seperti tandas, surau, bilik persalinan, wakaf-wakaf, gerai jualan dan tempat letak kereta yang agak luas.

Jeram pasu mempunyai beberapa kawasan mandi yang disediakan khusus untuk kanak-kanak, orang yang berkeluarga, dan golongan dewasa yang inginkan cabaran, kolamnya di tingkat atas dan lebih dalam airnya.

Banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di sini selain mandi manda iaitu jungle trekking, memancing, berkelah dan menikmati pemandangan sekeliling.

Masa yang diluangkan bersama kawan-kawan atau keluarga sambil menikmati keindahan alam boleh membantu kita untuk lebih bahagia dan boleh mengurangkan kemurungan. Rancanglah masa sebaiknya.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.