Tiga alternatif dalam talian jana rezeki dari rumah

Perniagaan Chan Abdullah 11-Mei-2020
Sumber alternatif niaga dalam talian © nik bibik | Dreamstime.com

Bukan sahaja negara Malaysia, tetapi hampir seluruh negara di dunia mengalami tekanan ekonomi akibat virus COVID-19. Negara-negara kuasa besar termasuk Amerika Syarikat juga mengalami impak kejatuhan ekonomi yang sangat gawat.

Sudah pasti ada yang terpaksa berdepan risiko kehilangan pendapatan dan pendapatan berkurangan akibat keadaan ekonomi sekarang. Sepertimana kita perlu memulakan norma-norma baru dalam kehidupan, mungkin kita juga boleh mencuba alternatif baru untuk menjana pendapatan dari rumah.

Berikut adalah tiga sumber alternatif yang boleh anda sertai bagi menjana pendapatan dari rumah:

1.       Perniagaan affiliate

Perniagaan bergabung atau affiliate adalah antara perniagaan atas talian yang paling pantas untuk anda sertai. Perniagaan program affiliate ini kebiasaannya lebih fokus kepada penjualan produk digital seperti ebook dan video tutorial. Model perniagaan ini adalah amat mudah. Anda hanya perlu mencari mana-mana penjual (vendor) yang menawarkan program affiliate, daftar sebagai wakil penjual atau ejen program affiliate dan promosikan pautan affiliate anda. Anda akan mendapat komisen jika ada pembelian yang dilakukan melalui pautan affiliate anda.

2.       Perniagaan dropship

Perniagaan pesan-hantar atau dropship adalah antara perniagaan yang paliing diminati di Malaysia. Dengan adanya platform seperti Lazada dan Shopee, perniagaan dropship semakin menjadi pilihan. Model perniagaan dropship juga adalah sangat mudah. Anda hanya perlu mendaftar sebagai ejen dropship melalui ibu pejabat mana-mana syarikat yang menawarkan peluang dropship. Kemudian anda perlu promosikan produk kepada bakal pelanggan dengan harga. Apabila pelanggan membuat tempahan bayaran, barulah anda membuat tempahan dengan harga ejen kepada syarikat tadi. Semua urusan penghantaran pula akan diuruskan oleh pihak ibu pejabat syarikat tersebut.

3.      Perniagaan produk digital

Perniagaan ini adalah perniagaan yang semakin mendapat sambutan di negara kita. Anda hanya perlu hasilkan kandungan produk digital dalam bentuk ebook ataupun video. Kandungan pula boleh jadi apa-apa saja berdasarkan pengetahuan dan pengalaman anda. Sebagai contoh, ebook bertajuk ’50 Tips Berjaya Temuduga Kerajaan.’

Kejayaan pastinya tidak akan datang bergolek. Cuba dan belajar secara berterusan. Usaha sedaya upaya, buat kajian yang terperinci, serta bertawakal dan berdoalah kepada Allah SWT untuk berjaya. Mungkin salah satu daripada tiga pilihan di atas adalah sesuai untuk anda. Selamat mencuba!