Tiga binaan unik dunia abad ke-21

Timur Tengah Hagnas
Hagnas
Tiga binaan unik di dunia pada abad ke-21
Tiga binaan unik di dunia pada abad ke-21 (gambar: Aldar HQ) © Topdeq | Dreamstime.com

Dengan perkembangan teknologi dan ilmu pengetahuan pada abad ini, terdapat pelbagai senibina yang unik dibina melambangkan kepintaran arkiteknya juga kepakaran pihak yang terlibat dalam pembinaan bangunan-bangunan hebat ini.

Terdapat tiga binaan unik pada abad ke-21 yang akan dikongsikan dalam artikel ini.

Menara al-Bahar, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu

Menara al-Bahar ini dibina di kawasan beriklim panas ekstrem. Bertujuan untuk menyejukkan bangunan dengan menggunakan teknologi pintar berdasarkan gerakan matahari. Menara ini mempunyai 2000 kulit atau payung berbentuk geometri untuk memastikan suhu bangunan tidak terlalu panas.

2000 payung ini akan tertutup dan terbuka dan sensorinya adalah sinaran matahari yang memancar padanya. Uniknya binaan payung-payung ini ialah untuk memastikan pengurangan 50% pengaliran haba ke dalam bangunan, mengurangkan pencahayaan buatan dan memastikan pengudaraan yang baik berlaku. Bangunan ini menggunakan tenaga solar untuk beroperasi.

Bosco Verticale, Milan, Itali

Bosco Vertical dalam Bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Vertical Forest. Hutan menegak ini dibina di Milan, Itali antara Via Gaetano de Castillia dan Via Federico Confalonieri berdekatan Stesen Keretapi Milano Porta Garibaldi.

Binaan ini merupakan rumah kediaman berkembar yang mempunyai 400 unit kondominium. Menara ini mempunyai 900 pokok, 5000 pokok renek, dan 11000 bunga-bungaan. Keseluruhan flora lebih kurang 20000 ini dianggarkan boleh membekal sekitar 40,000 pounds karbon setiap tahun. Pohon-pohon ini juga menapis udara dan menghasilkan oksigen yang diperlukan oleh manusia dan haiwan.

Selain ini, ia membantu untuk menyeimbangkan suhu pada waktu musim panas dan sejuk. Bangunan ini menggunakan sistem solar sebagai tenaga. Tentunya bangunan ini amat membantu untuk meningkatkan keseimbangan ekosistem di daerah ini.

Aldar Headquarters, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu

Pencangkar langit setinggi 121m dan mempunyai 23 tingkat seolah-olah bangunan yang mempunyai keluasan sama dengan 40 tingkat berdasarkan konsep binaannya. Konsep binaan Aldar Headquarters merupakan binaan pertama di dunia yang berbentuk seperti lokan.

Ia dibina di pinggir laut dan mempunyai imej sebegini tentunya kelihatan begitu harmoni dengan keadaan sekeliling. Ia dibina di Al-Raha, Abu Dhabi dan berbentuk cembung menggambarkan kestabilan dan kesatuan.

Banyak lagi binaan-binaan pada abad ke-21 yang hebat dari sudut bentuk dan infrastrukturnya malahan juga mempunyai fungsi lain iaitu mesra alam. Bangunan yang membantu menyeimbangkan ekosistem bumi juga bangunan yang ‘go green’.