Tiga hero Muslim selamatkan mangsa serangan pengganas di Vienna, Austria

Eropah 29 Dis 2020 Md Wa'iz
Md Wa'iz
Tiga hero Muslim selamatkan mangsa serangan pengganas di Vienna, Austria
Tiga hero Muslim selamatkan mangsa serangan pengganas di Vienna, Austria © kurier.at/chronik

Jika anda masih ingat, pada awal bulan lepas, 2 November 2020, telah berlaku serangan tembakan pengganas di Vienna, Austria. Namun tahukah anda, antara hero yang menyelamatkan mangsa-mangsa tembakan tersebut adalah orang-orang Islam?

Siapakah mereka?

Pemuda keturunan Palestin selamatkan nyawa polis

Sewaktu serangan tembakan rambang pengganas terhadap orang awam, salah seorang anggota polis turut mengalami kecederaan. Anggota polis tersebut mengalami kecederaan akibat ditembak sehingga mengalami pendarahan yang amat banyak.

Osama Abu El-Hosna yang kebetulan berada tidak jauh daripada polis yang tercedera tersebut, bergegas berlari ke arahnya untuk membantu menyelamatkannya. Beliau membantu menghentikan pendarahan polis tersebut di belakang tembok konkrit.

Osama juga membantu menghantar polis yang tercedera tersebut ke ambulans untuk segera dibawa ke hospital. Beliau bertindak pada ketika bunyi tembakan pengganas masih kedengaran.

Osama adalah seorang pemuda imigran Muslim yang berketurunan Palestin dan berumur 23 tahun. Dia bekerja sebagai pengurus restoran McDonald’s di bandar tersebut.

Dua pemuda keturunan Turki selamatkan wanita tua dan polis

Selain daripada Osama, dua orang pemuda berketurunan Turki juga turut memberanikan diri mereka menyelamatkan mangsa tembakan rambang tersebut. Pemuda tersebut, Recep Tayyip Gultekin dan Mikail Ozen pada ketika itu sedang berjalan ke arah di mana insiden tembakan itu bermula.

Pada ketika itu, Gultekin terlihat seorang wanita tua tercedera dan segera menyelamatkannya dengan membawanya berlindung di restoran berdekatan.

Selain menyelamatkan wanita tua itu, Gultekin dan juga Ozen membantu menyelamatkan seorang anggota polis yang tercedera dengan membawanya ke ambulans. Ini kerana pasukan perubatan tidak berani untuk pergi ke lokasi serangan, dan anggota polis yang lain tidak dapat membantu polis yang tercedera tersebut.

Gultekin dan Ozen membuat keputusan mengangkat anggota polis yang tercedera itu ke ambulans dengan segera setelah melihatnya kehilangan banyak darah. Gultekin dan Ozen adalah atlet seni bela diri campuran (MMA) dengan memegang kewarganegaraan Austria.

Contohi tindakan tiga pemuda Muslim ini

Tindakan ketiga-tiga pemuda Muslim ini amat dipuji ramai dan mereka telah menerima pingat kehormatan daripada pihak Polis Vienna.

Apa yang dilakukan oleh mereka bertiga ini wajar dijadikan contoh oleh kita dalam kehidupan bermasyarakat. Kita perlu menyelamatkan sesiapa sahaja jika berlaku sebarang konflik atau serangan tanpa mengira bangsa dan juga agama.

Perlu juga ditekankan bahawa pengganas yang melakukan serangan terhadap orang awam tidak boleh dikaitkan dengan Islam. Ini kerana pengganas tidak mengenal agama, dan tindakan mereka tidak mewakili mana-mana ajaran agama di dunia.

Agama Islam sendiri menganjurkan kedamaian dan mengelakkan sebarang konflik.