Tiga kuih pelik tapi masyhur di Kelantan

Makanan 14 Feb 2021 Hagnas
Hagnas
Tiga kuih pelik tapi masyhur di Kelantan
Tiga kuih pelik tapi masyhur di Kelantan (foto: Kuih Lompat Tikam) © facebook.com/ResepiKualiMama

Kelantan merupakan sebuah negeri pantai timur Malaysia yang terkenal dengan gelaran negeri Serambi Mekah. Terdapat banyak institusi pengajian agama dan juga pengajian ilmu-ilmu moden di sini.

Selain daripada banyak tempat menarik untuk dilawati, negeri Kelantan juga menyediakan pelbagai hidangan lazat untuk dinikmati oleh rakyat dan pengunjung negeri ini.

Kuih Tahi Itik

Kuih ini berwarna putih krim dan dibentuk kecil-kecil dan bertempek-tempek. Ia dinamakan kuih Tahi Itik hanya kerana bentuknya. Tetapi sudah pasti bahan-bahannya halal dan bersih serta tiada kena mengenai dengan tahi itik.

Kuih ini dihasilkan menggunakan putih telur, santan, sedikit tepung pulut dan tepung beras dan disira panas dalam air gula. Ia biasa dihidang tanpa kuah dan rasanya lemak manis. Biasanya pembuat kuih tahi itik akan menggunakan kuning telur pula untuk membuat kuih jala emas atau kuih pauh dilayang.

Kuih Bunga Tanjung

Kuih Bunga Tanjung ini berwarna kuning dan berbentuk air mata atau embun. Ia sangat unik kerana menggunakan telur itik sebagai bahan utama. Telur ini dicampur dengan tepung beras, tepung pulut, gula, pewarna kuning, bunga cengkih, dan daun pandan.

Kuih ini agak manis dan lemak-lemak rasanya. Sangat sedap namun tidak boleh dimakan terlalu kerap kerana rasanya yang manis dan kandungan kolesterol yang agak tinggi.

Kuih Lompat Tikam 

Kuih Lompat Tikam adalah gabungan kuih pekat dari tepung beras yang berwarna hijau, pulut yang berwarna merah, kuah putih pekat daripada santan dan tepung serta kuah hitam daripada gula nisan.

Gabungan bahan-bahan ini dinamakan kuih Lompat Tikam. Kuih ini sangat popular di Kelantan dan sangat disukai masyarakat. Ia selalu dijual di mana-mana sahaja di Kelantan.

“Wahai manusia, makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. Makanlah makanan yang halal dan baik dan makanlah makanan secara bersederhana. Makanan yang diambil secara berlebihan dikira membazir dan orang yang membazir merupakan saudara syaitan.

(Quran surah al-Baqarah, ayat 168)