Tiga manfaat Sahur daripada sudut kesihatan – jangan tak bersahur!

Kesihatan 19 Apr 2021 Md Wa'iz
Pilihan
Tiga manfaat Sahur daripada sudut kesihatan - jangan tak bersahur!
Tiga manfaat Sahur daripada sudut kesihatan - jangan tak bersahur! © Odua | Dreamstime.com

Bersahur merupakan satu rutin yang sunat dilakukan ketika berpuasa. Bagi mereka yang berasa agak malas untuk bersahur, anda mungkin belum mengetahui manfaat makan sahur yang sebenar.

Artikel ini ada menerangkan mengenai kebaikan bersahur.

Manfaat makan sahur: satu amalan penuh keberkatan

Bersahur sememangnya adalah satu amalan yang penuh keberkatan dan ia merupakan satu ibadah ketika bulan Ramadan.

Disebabkan keberkatan dalam bersahur, Nabi Muhammad SAW menyatakan ia adalah amalan sunat yang sangat digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Terdapat banyak riwayat hadis yang menyatakan mengenai keberkatan bersahur.

Salah satunya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud:

“Semua sahur adalah berkat. Oleh kerana itu, janganlah kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat memberikan selawat kepada mereka yang bersahur.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Selain itu, Rasulullah SAW juga ada menyatakan bahawa, perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani terletak pada makan sahur.

Manfaat makan sahur daripada segi kesihatan

Walaupun sahur ini diamalkan kerana galakan sunnah Nabi, namun ia juga mempunyai manfaatnya yang tersendiri daripada sudut kesihatan. Antara manfaat makan sahur yang jarang diketahui orang ramai ialah:

Menjaga kesihatan sepanjang hari

Seorang pakar pemakanan dari Dubai, Rashi Chowdhary menyatakan, manfaat makan sahur ini bukan hanya terletak pada konsep rohaninya sahaja, tetapi juga pada aspek fizikal. Beliau menyatakan, amalan sahur boleh merangsang aktiviti penghadaman perut pada waktu pagi selain mengawal kestabilan paras gula darah.

Selain itu, amalan bersahur juga boleh mengelakkan diri kita daripada berasa lapar sepanjang hari. Oleh kerana itu, pemilihan makanan yang tepat amat penting ketika bersahur.

Meningkatkan fokus pada siang hari

Antara punca mengapa seseorang itu mudah berasa letih ketika berpuasa Ramadan adalah kerana tidak bersahur. Ini kerana, tubuh badannya tidak mempunyai tenaga yang mencukupi agar dirinya bertahan sehingga waktu berbuka puasa.

Apabila kurangnya sumber tenaga dalam badan kerana tidak bersahur, maka fokus atau penumpuan dalam melakukan sesuatu juga semakin berkurangan. Ini kerana, otak anda tidak memiliki tenaga yang cukup untuk berfungsi dengan optimum.

Sahur peluang untuk anda hidrasikan tubuh badan

Sebelum anda mula berpuasa dalam tempoh lebih kurang 12 jam, sahur adalah waktu yang paling sesuai untuk anda top-up kembali kandungan air dalam tubuh badan. Ini untuk memastikan agar tubuh badan anda mempunyai jumlah air yang mencukupi sepanjang anda berpuasa.

Jika tubuh badan anda kekurangan kandungan air, maka anda akan mudah untuk mengalami gangguan kesihatan lain. Sebagai tip, anda boleh mengambil jenis makanan yang mempunyai kandungan air yang tinggi ketika bersahur.

Antaranya ialah sup, buah tembikai dan oat yang dibancuh dengan susu. Makanan seperti ini boleh membantu meningkatkan kandungan air dalam tubuh anda.

Jangan tinggalkan amalan bersahur!

Bersahur bukan sahaja dilakukan kerana tuntutan sunnah, tetapi ia juga memberikan banyak kebaikan kepada tubuh. Selain itu, amalan bersahur juga boleh membantu anda untuk bangun awal pagi dan bersedia untuk solat Subuh lebih awal daripada sebelum ini.

Jangan tinggalkan amalan bersahur sepanjang Ramadan ini kerana anda akan mendapat banyak manfaat makan sahur.