Tiga masjid di Perak yang perlu dilawati selepas tamat PKP

Singgah Abi Aasim 24-Apr-2020
Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar © Muhammad Fadhli Adnan | Dreamstime.com

Alangkah rindunya hati ini untuk melangkah semula ke masjid. Saya percaya anda pun sama. Tetapi buat masa ini, kita perlu patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selepas tamat tempoh PKP ini, mari kita sama-sama mengimarahkan semula masjid di kawasan kita.

Saya pasti anda mempunyai masjid kegemaran untuk dikunjungi. Saya juga sama. Di sini, saya ingin kongsikan senarai tiga masjid di Perak yang perlu dilawati selepas tamat PKP COVID-19.

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Masjid Ubudiah memang merupakan lokasi pelancongan terkenal. Masjid ini juga merupakan salah satu mercu tanda bandar Kuala Kangsar. Senibina dan ruangan dalaman masjid ini memang memukau setiap mata yang memandang.

Rekaan masjid ini diilhamkan oleh Arthur Benisson Hubback. Beliau juga bertanggungjawab menghasilkan senibina Stesen Keretapi Ipoh dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Masjid ini dibina oleh Baginda Sultan Idris, Sultan Perak yang ke 28. Pembinaan masjid ini sebagai tanda kesyukuran setelah sembuh dari penyakit yang panjang. Pembinaan masjid ini mengambil masa sekitar empat tahun dan disiapkan sepenuhnya pada tahun 1917.

Masjid Ubudiah kini berdiri megah dan menjadi kebanggaan penduduk negeri Perak.

Masjid Ihsaniah Iskandariah, Padang Rengas

Masjid ini terletak bersebelahan dengan Masjid Al-Wahidiah, Kampung Kuala Dal. Masjid ini sekarang dibuka sebagai galeri dan tidak lagi digunakan sebagai dewan untuk bersembahyang. Masjid ini dirasmikan pada tahun 1938. Namun masjid ini terbiar mulai tahun 1976 akibat kerosakan.

Atas inisiatif Jabatan Warisan Negara, masjid ini telah dibaik pulih dan dipulihara semula sepenuhnya pada tahun 2009. Dinding masjid ini dibina daripada anyaman buluh yang dikenali sebagai Kelarai Bunga Potong Belian. Selain itu masjid ini mempunyai 20 tingkap bagi pengudaraan yang baik.

Masjid ini telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan. Di masa ini, kariah Masjid Al-Wahidiah yang menguruskan Masjid Ihsaniah Iskandariah. Siapa sangka ada warisan negara di kampung kecil ini, bukan? Semoga warisan negara ini terus terpelihara.

Masjid An-Nur, Universiti Teknologi Petronas (UTP)

Masjid An-Nur ini kelihatan seperti terapung kerana kedudukannya yang terletak di atas tasik. Masjid ini siap dibina pada tahun 2005. Masjid ini bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat, malah sebagai pusat pembelajaran. Masjid ini dibina setelah masjid lama (kini dijadikan Pusat Islam An-Nur) tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah.

Masjid ini dibina dengan ciri-ciri moden kontemporari. Memang selesa dan tenang apabila solat di sini. Selain itu, masjid ini juga sentiasa menganjurkan pelbagai program keagamaan terutamanya untuk para pelajar UTP.

Semoga anda semua akan berpeluang untuk melawati masjid-masjid yang telah dikongsikan di sini. Jika diizinkan Allah SWT, sama-sama kita mengimarahkan semua rumah-rumah Allah secara berterusan setelah tamat PKP COVID-19 ini.