Tiga pelopor muzik nasyid moden Malaysia

Islam Chan Abdullah
Kumpulan nasyid Rabbani © facebook.com/rabbanigroup

Muzik nasyid merupakan nyayian yang biasanya bercorak keagamaan Islam dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah para nabi, memuji Allah SWT dan yang seumpamanya. Melalui nasyid, secara tak langsung  penggiat nasyid dapat  membawa misi dakwah Islamiah kepada masyarakat sambil  memenuhi fitrah berhibur dalam diri manusia.

Ketika di bangku sekolah rendah lagi, murid-murid sudah diperkenalkan dengan irama nasyid. Seni nasyid ini dapat meniupkan semangat di dalam diri melalui nasihat-nasihat dan kata-kata hikmah yang terkandung di dalam liriknya.

Di Malaysia pasti ramai yang kenal dengan kumpulan nasyid popular Raihan, Rabbani dan Hijjaz. Ketiga-tiga kumpulan nasyid ini boleh dikatakan perintis nasyid  kontemporari negara ini.

Raihan

Kumpulan Raihan yang membuka jalan untuk irama nasyid di Malaysia memasuki pasaran perdana melalui ambul Puji-Pujian pada tahun 1996. Album pertama mereka berjaya mencatat jualan RM1.5 juta.  Kumpulan Raihan, turut mencipta sejarah apabila  menerima 17 trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Malah, kumpulan Raihan turut mendapat lampu hijau mengadakan konsert di Kelantan ketika almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan. Sebelum itu sebarang konsert tidak dibenarkan dijalankan di sana. Namun konsep dakwah dalam irama nasyid kumpulan Raihan telah membuka hati Tuan Guru Nik Aziz untuk membenarkan konsert tersebut dilangsungkan.

Rabbani

Kumpulan Rabbani juga adalah salah satu perintis awal irama nasyid  kontemporari di negara ini. Rindu rasanya nak mendengar suara merdu Allahyarham Ustaz Asri selaku penyanyi utama kumpulan Rabbani. Antara lagu mereka yang pasti diingati ialah Pergi Tak Kembali.

Kumpulan Rabbani menghasilkan lagu-lagu nasyid dengan irama yang agak rancak yang digemari pendengar. Hasilnya mereka berjaya memenangi anugerah penyanyi nasyid popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama 10 tahun berturut-turut.

Hijjaz

Seterusnya pula ialah kumpulan Hijjaz. Kebanyakan lagu-lagu nasyid kumpulan Hijjaz memiliki lirik yang agak mendalam maksudnya. Sebelum penubuhan Hijjaz, mereka pernah menganggotai kumpulan Nada Murni selama lebih 10 tahun.

Hijjaz bergiat aktif menerusi syarikat Hijjaz Music Entertainment. Kumpulan ini juga telah melahirkan kumpulan-kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti kumpulan Inteam dan UNIC. Antara anak didik Hijjaz yang berjaya ialah Hafiz Hamidun.

Walaupun mungkin dipandang remeh sebagai muzik kampung oleh sesetengah pihak, kewujudan tiga kumpulan nasyid utama Malaysia ini berjaya membuktikan sebaliknya. Bukan sekadar berjaya meraih pengiktirafan dalam negara, malah turut dikenali dan diiktiraf di luar negara.

Usaha memartabatkan nasyid secara profesional dalam negara perlulah diteruskan. Pemartabatan seni nasyid dilihat dapat memberi impak yang positif dalam kerja-kerja dakwah kepada masyarakat. Namun olahan kreatif penulisan lirik mestilah tidak meninggalkan tujuan asal nasyid, iaitu untuk berdakwah dan memberi tarbiah Islamiah kepada pendengar.