Tiga sajian Istana Pahang

Budaya Chan Abdullah 06-Sep-2020
NAsiKEbuli
Nasi Kebuli © malaysiaaktif.my

Sajian Istana adalah menu makanan istimewa yang dimasak oleh tukang masak istana. Setiap negeri di Malaysia mempunyai sajian istana yang sangat istimewa. Malah rakyat jelata turut tertanya-tanya mengenai penyediaan sajian istana yang menjadi santapan diraja. Artikel ini membawa kita untuk mengetahui beberapa menu yang menjadi hidangan istana di negeri Pahang.

Opor Pahang

Menu diraja ini sangat sedap rasanya dan turut menjadi menu popular di kalangan masyarakat Pahang, terutamanya bagi yang tinggal di Bandar Diraja Pahang. Menu ini sering kali dimasak dalam majlis-majlis keraian seperti kenduri kahwin. Daging atau ayam adalah bahan utama yang digunakan  untuk membuat opor Pahang. Keistimewaannya terletak pada rempah yang diadun untuk membuat opor Pahang ini. Bahan asas lain yang digunakan adalah hampir sama dengan bahan asas untuk membuat rendang.

Puding Diraja Pahang

Menjadi hidangan pencuci mulut yang sangat istimewaa, puding diraja Pahang ini bukan sahaja digemari oleh golongan istana malah dikalangan masyarakat Negeri Pahang juga. Penyediaan puding ini adalah daripada bahan asas seperti pisang lemak manis, buah prun, kacang gajus, susu, minyak sapi dan ceri merah juga hijau. Warnanya yang kuning keemasan turut menjadi penyeri dan daya penarik tambahan puding ini. Sesetengah individu lebigh menggemari puding diraja yang disejukkan.

Nasi Kebuli

Nasi ini mendapat nama daripada Nasi Ke Bawah Duli. Makanan ini menjadi warisan diraja. Hidangan ini turut terkenal di sekitar kampung-kampung Kuala Kenong, Kampung Budu, dan juga daerah Kuala Lipis, Pahang. Hidangan ini dinikmati bersama ayam yang telah diperap serta digaul bersama garam dan juga kunyit yang ditumbuk halus.

Diceritakan bahawa nasi kebuli ini wujud setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Mahmud Shah bersama pengikutnya telah mudik ke pekan Kuali Lipis dan berhenti berehat di Kuala Kenong. Baginda telah menyatakan hasrat untuk makan nasi berlaukkan ayam kampung.

Baginda bertemu  dengan penduduk kampung yang bernama Hussin dan menyatakan hasrat ingin memakan nasi berlaukkan ayam kampung. Kemudian Hussin memasak nasi tersebut dan menghidangkan kepada sultan. Maka berdasarkan kepada peristiwa tersebut ia dinamakan Nasi Kebuli sempena nama Kebawah Duli.

Sehingga kini nasi kebuli menjadi hidangan popular bagi masyarakat negeri Pahang dan cuma dihidangkan dalam majlis-majlis tertentu sahaja.

Tiga sajian istana dari istana Pahang ini sangat istimewa rasanya. Tidak hairanlah bagaimana menu ini boleh menjadi sajian istana. Semoga keunikan warisan sajian istana ini dapat diturunkan kepada generasi yang akan datang agar ianya kekal terpelihara.