Timun Laut – Gamat dan berbagai kegunaan sebagai ubat untuk kesihatan

Kesihatan Hanita Hassan
Hanita Hassan
Timun Laut - Gamat dan berbagai kegunaan sebagai ubat untuk kesihatan
Timun Laut - Gamat dan berbagai kegunaan sebagai ubat untuk kesihatan © Ericsch | Dreamstime.com

Semua makhluk ciptaan Allah SWT di muka bumi ini sama ada di daratan mahupun lautan mempunyai peranan dan tugas tersendiri. Gamat adalah antara makhluk ciptaan Allah yang banyak kegunaannya kepada manusia.

Ia adalah sejenis hidupan daripada keluarga Timun Laut atau Holothuroidea yang terkenal sebagai makanan atau ubat tradisional.  Antara produk gamat yang popular adalah minyak gamat dan air gamat.

Produk gamat untuk kecantikan

Bagi kaum wanita, produk berasaskan gamat digunakan untuk pelbagai masalah kulit khususnya untuk kecantikan. Ia juga diminum untuk memulihkan kesihatan tubuh terutama selepas melahirkan bayi.

Minyak, losen atau apa jua bentuk sapuan daripada produk gamat boleh digunakan untuk merawat luka, ulser atau pelbagai masalah.  Ia juga boleh diminum sebagai tonik kesihatan. Walau bagaimanapun, pengambilan secara oral perlu diteliti labelnya dahulu agar ia selamat diminum.

Kepelbagaian bentuk silinder yang dimilikinya menyerupai tumbuhan daratan mentimun. Tidak hairanlah ia digelar Mentimun atau Timun Laut. Secara umumnya terdapat banyak spesis gamat. Ia tergolong dalam kumpulan haiwan invertebra (tidak bertulang) dan bertubuh lembut.

Beberapa spesis di dalam kumpulan gamat ialah holothuria scabra, holothuria spinifera, holothuria fuscogilva, actinopyga mautitiana, apostichopus japonicus, parastichopus californicus, thelenota anans dan acaudina molpadioides. Antara spesis yang mempunyai nilai perubatan adalah dari genus stichopus atau gamat emas.

Gamat terdapat dalam pelbagai warna

Haiwan ini dikatakan boleh membesar sehingga mencapai saiz melebihi dua meter panjang. Ia terdapat dalam pelbagai kombinasi warna seperti hitam, putih, merah atau biru. Habitat ini terdapat di seluruh dunia termasuk perairan di Malaysia seperti Pulau Langkawi dan Pulau Tioman.

Gamat mengandungi protein yang tinggi sekitar 55% di samping pelbagai nutrien lain seperti mucopolysaccharides dan saponin. Kandungan lemak di dalamnya rendah dan turut mengandungi vitamin E yang terkandung dalam cecair badannya yang mempunyai antioksida berfungsi dalam sistem pertahanan.

Ia juga mengandungi nutrien yang boleh berfungsi sebagai anti bakteria, anti kulat, anti kanser atau anti radang. Fungsinya banyak dan tidak tertakluk kepada penyelesaian masalah kulit dan kesihatan umum.

Ramuan dalam perubatan tradisional

Masyarakat Cina mengenali gamat sebagai ginseng laut dan tersenarai sebagai ramuan perubatan tradisional dalam buku ‘Bencao Gangmu’ iaitu Materia Medica hasil tulisan Li Shezhen. Masyarakat India pula mempercayainya sebagai salah satu ubat tradisional yang berkesan untuk merawat masalah kulit atau masalah kesihatan umum.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup, dan (Kami menciptakan pula) makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kepadanya.”

(Surah al-Hijr, ayat 20)

Selain berfungsi sebagai merawat luka dalaman dan luaran, gamat juga dijadikan hidangan. Ia dikatakan mengandungi banyak manfaat dan khasiat seperti makanan laut lain. Hidupan laut ini kurang kalori dan lemak serta tinggi protein dan sesuai untuk mereka yang sedang mengamalkan diet.

Ia juga kaya dengan vitamin dan mineral, antiradang, membantu merangsang sistem imunisasi, merawat mati pucuk, merawat luka, membantu mengawal gula dalam darah, membantu menjaga kesihatan jantung dan mencegah kanser.

Bagi anda yang mempunyai masalah kesihatan dan mahu mengambil produk berasaskan gamat, sila rujuk dan mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.