Tingkat Minat Belajar Menerusi Yayasan Pendidikan Perak

Suka Nor Syariza Tahir 29-Mei-2019

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Jika ingin menerapkan perasaan suka untuk belajar dan menimba ilmu di kalangan anak-anak, kita seharusnya memulakannya sejak mereka dari zaman kanak-kanak lagi.

Menyedari hakikat itu dan kepentingan pendidikan kepada anak-anak, Datin Normah Hanum Datuk Ibrahim bertekad untuk membangunkan sebuah yayasan yang memberi penekanan terhadap pendidikan sejak di sekolah rendah, yang digelar Yayasan Pendidikan Perak (YPP).

Dikenali sebagai Yayasan Pendidikan Kampar (YPK) sebelum ini, pada tahun ini, ia dijenamakan semula sebagai YPP bagi memperluaskan cakupan aktiviti ke seluruh sekolah-sekolah di negeri Perak, berbanding hanya bertumpu kepada sekolah-sekolah di Parlimen Kampar sahaja sebelum ini.

Selaku Pengerusi YPP, Normah Hanum mempunyai misi dan hala tuju yang jelas, iaitu untuk membantu para pelajar sekolah rendah, terutamanya yang bersekolah di kawasan-kawasan kampung untuk mendapat pendidikan yang lebih baik.

“Bagi saya, pendidikan itu bagaikan suatu batu asas untuk pembinaan sesebuah negara. Maju atau mundurnya sesebuah negara, agama, bangsa atau keluarga itu adalah berkait rapat dengan pendidikan dalam kalangan ahlinya.

“Justeru, atas kesedaran betapa pentingnya pendidikan kepada anak-anak kita yang kelak akan mewarisi apa yang kita ada pada hari ini, kami di YPP komited untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan kita semua menerusi yayasan ini,” ujarnya dalam satu temu bual di Ipoh baru-baru ini.

Tingkat Motivasi Pelajar dan Ibu Bapa

Antara yang dilaksanakan di bawah YPP atau dahulunya dijalankan menerusi YPK adalah aktiviti-aktiviti untuk meningkatkan motivasi pelajar dan ibu bapa, bantuan buku, pembelajaran bersama dan peningkatan keyakinan pelajar menerusi program-program mencungkil bakat.

“Salah satu daripada aktiviti kami, Kumpulan Rakan Belajar dilaksanakan bertujuan untuk membantu pelajar membuat kerja sekolah mereka.

“Misalnya, jika seseorang pelajar itu lemah dalam subjek Bahasa Inggeris, menerusi program Kumpulan Rakan Sebaya, mereka boleh bertukar-tukar pandangan dan belajar bersama rakan lain yang mungkin lebih hebat dalam subjek itu.

“Ini bukan sahaja dapat membantu anak-anak ini untuk lebih memahami dalam sesuatu subjek, malah dapat memupuk semangat saling membantu antara rakan sebaya dan meningkatkan keyakinan diri mereka,” cerita pesara guru yang berumur 73 tahun ini.

Program Kumpulan Rakan Belajar sehingga kini dilaksanakan di 35 buah kampung, dengan kira-kira 600 pelajar terlibat.

Tidak hanya itu, para sukarelawan yang turut terlibat dalam program tersebut terdiri daripada para guru dan ibu bapa yang turut berkongsi matlamat yang sama, iaitu meningkatkan taraf pendidikan anak-anak.

Apa yang membanggakan Normah Hanum adalah apabila para pelajar yang pernah terlibat dalam program di bawah YPK kini telah menjadi seseorang yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Kebanyakan daripada para pelajar ini ada yang memasuki sekolah berasrama penuh, universiti malah ada yang telah bekerja dengan menjawat jawatan yang bagus seperti doktor dan profesor.

“Keberkesanan program-program di bawah YPK ini diakui sendiri oleh Pejabat Pendidikan Perak, maka atas sebab itulah kami memperluaskan YPK kepada YPP pada tahun ini,” jelasnya.

 

Mahu Galakkan Pendidikan STEM

Terus mengorak langkah dengan lebih yakin, pada bulan April baru-baru ini, YPP memperkenalkan program ‘STEM Waves Perak’ yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan mendapat kerjasama daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Di bawah YPP, penekanan akan diberikan terhadap usaha untuk menggalakkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negeri  Perak.

“Dunia kini sedang menuju ke arah revolusi Industri 4.0, di mana setiap bidang kerja memerlukan kepakaran dalam automasi dan teknologi.

“Namun, agak mendukacitakan apabila daripada kajian yang dibuat, hanya 17% pelajar kita berminat dalam subjek sains.

“Atas sebab itu, ‘STEM Waves’ diwujudkan, iaitu untuk meningkatkan minat para pelajar terhadap subjek sains menerusi pelbagai aktiviti pembelajaran menyeronokkan yang akan diadakan,” katanya.

Antaranya adalah karnival STEM, pertandingan dan kuiz berkaitan sains dan teknologi, lawatan ke pusat sains, pendedahan kepada subjek-subjek seperti robotik dan pelbagai lagi aktiviti praktikal untuk menanam minat para pelajar terhadap sains dan teknologi.

Sokongan Daripada Banyak Pihak

Ternyata Normah Hanum tidak keseorangan apabila usaha beliau turut dibantu oleh anaknya, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi yang turut bersama-sama menambah baik YPK dan YPP khususnya, agar lebih ramai generasi muda yang berpendidikan tinggi dapat dilahirkan.

“Kami kini bekerjasama dengan pelbagai institusi termasuk UTP dan kerajaan negeri Perak bagi menggalakkan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah.

“Bantuan dari segi pendedahan, jaringan serta kewangan turut diberikan bagi melicinkan lagi program-program yang dilaksanakan.

“Kami juga akan menghantar beberapa pelajar YPP untuk ke Dubai dan Jerman dengan kerjasama syarikat-syarikat dari negara-negara tersebut untuk tujuan latihan industri pada masa akan datang,” ujar Nomee Ashikin yang juga merupakan isteri kepada Menteri Besar Perak.

Baginya, tiada apa yang mustahil jika sesuatu pekerjaan itu dilakukan dengan penuh bersemangat, matlamat yang jelas dan pengisian yang tepat.

“Kami berharap dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, lebih ramai pelajar jurusan sains dapat dilahirkan dari negeri Perak terutamanya, yang didorong oleh pelaksanaan program-program di bawah YPP.

“Ini kerana mereka adalah generasi yang perlu bersiap-siaga untuk menghadapi kedatangan Industri 4.0 dengan cara yang betul dan berkesan,” katanya.

Foto: Yayasan Pendidikan Perak