Tingkatkan ingatan terhadap Allah SWT

Kehidupan Hanita Hassan 10-Nov-2020
dreamstime_s_175826304
Tingkatkan ingatan terhadap Allah SWT © Dongli Zhang | Dreamstime.com

Meningkatkan ingatan kepada Allah SWT hendaklah menjadi tujuan utama kehidupan kita. Walau bagaimanapun, kadang kala sukar untuk mencari jalan melakukannya. Cara yang baik untuk mengingati Allah secara berterusan dan menjadi budaya hidup adalah dengan melaksana doa setiap hari.

Ada doa dalam semua perkara yang kita lakukan sepanjang hari. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

(Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Sebelum tidur, apabila bangun pagi

Sebelum tidur, kita membaca doa yang bermaksud: ‘Ya Allah, dengan Nama-Mu, aku hidup dan aku mati’.  Setelah membaca doa ini, akan mengingatkan diri tentang  Allah SWT. Kita memikirkan Kekuasaan-Nya dan bagaimana hari esok tidak pernah dijamin bagi sesiapa pun.

Kita perlu ingat bahawa tidak ada satu perkara pun yang boleh dikawal, kerana semua perkara berlaku adalah dengan ketentuan Allah SWT. Apabila bangun pada waktu pagi,  doa yang kita baca bermaksud:

Segala puji bagi Allah, yang memberi kami kehidupan setelah mati (membangunkan dari tidur) dan bagi-Nya kami akan dibangkitkan dan kembali’.

Ketika membaca doa ini, kita harus mengingatkan diri bahawa Allah SWT bertanggungjawab atas perkara hidup dan mati. Kita hendaklah bersyukur kerana Dia  memberi kita peluang sehari lagi untuk melihat hari baharu.

Sebelum makan, setelah selesai makan

Sebelum makan, kita membaca doa yang bermaksud:

‘Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’.

Sebelum makan, kita wajib memulakan dengan menyebut nama Allah SWT. Sebutkan rasa syukur kerana mempunyai makanan untuk dimakan, tidak kira berapa banyak pun jumlahnya. Membaca doa ini membantu semua manusia untuk bersyukur dengan apa yang kita ada.

Setelah selesai makan, kita  membaca doa yang bermaksud:

Segala puji bagi Allah, yang memberi makan dan menghilangkan dahaga kita dan menjadikan kita orang Islam’.

Berterima kasih memuji Allah SWT atas apa yang baharu kita makan. Juga memuji-Nya kerana memberkati kita dengan agama ini. Oleh itu, dengan membaca doa ini, kita akan ingat bahawa sebagai seorang Muslim bukan sesuatu yang boleh kita anggap biasa, kerana ia adalah suatu nikmat Allah yang harus disyukuri.

Sebelum keluar rumah, sebelum masuk rumah

Sebelum meninggalkan rumah, kita juga  membaca doa yang bermaksud:

‘Dengan nama Allah aku bertawakal kepada-Nya dan tiada daya serta upaya kecuali dengan keizinan Allah’.

Mula bertolak dari rumah dengan nama Pencipta Seluruh Alam. Kita bergantung kepada Dia dan menyatakan dalam hati dan fikiran bahawa hanya Dia yang tahu apa yang akan berlaku.

Sebelum memasuki rumah, kita membaca doa yang bermaksud:

Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah kami bertawakal’.

Kita masuk rumah sambil menyebut nama Allah SWT. Maksudnya kita mengingatkan diri bahawa dengan membaca doa ini, Dia sahaja yang dapat kita harapkan dalam semua perkara dalam hidup kita. Usahakan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, tetapi Allahlah yang akan selalu menjaga kita.