Tips berpakaian bagi wanita Muslimah

Fesyen Chan Abdullah 26-Ogo-2020
Tips berpakaian bagi wanita Muslimah © Suryo | Dreamstime.com

Wanita Muslimah wajib untuk menutup aurat dengan sempurna dengan memakai pakaian yang sopan dan labuh seperti mana yang telah disyariatkan di dalam agama Islam. Pemakaian yang sempurna dapat menutupi daripada pandangan mata ajnabi yang memandang.

Aurat para wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangannya.

Rasulullah SAW pernah menegur Asma binti Abu Bakar r.a. Baginda bersabda: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak daripada anggota badannya kecuali ini dan ini (Baginda mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Bagaimanakah yang dikatakan menutup aurat dengan sempurna?

  • Memakai pakaian yang tidak menampakkan susuk tubuh badan – Pakailah pakaian yang labuh dan longgar. Pemakaian baju yang ketat sehingga terlihat bentuk tubuh badan adalah sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syarak.
  • Memilih warna dan fabrik pakaian yang sesuai – Pemilihan warna merupakan aspek penting yang perlu diambil kira dalam berpakaian. Warna yang terang dan fabrik yang agak jarang boleh menampakkan warna kulit badan.
  • Berpakaian bersesuaian dengan jantina – Jika kita dilahirkan sebagai seorang perempuan, maka pakailah pakaian perempuan. Jangan sesekali kita menggayakan pakaian yang bertentangan dengan jantina yang telah Allah SWT tetapkan kepada kita.
  • Melabuhkan tudung hingga ke bahagian dada – Pakailah tudung sehingga menutup bahagian dada. Tutuplah bahagian dada agar tidak terdedah. Tudung yang labuh dapat membantu menutup aurat kaum Hawa dengan sempurna.
  • Memakai stokin – Kaki adalah aurat bagi seorang wanita Muslimah. Oleh itu, tutuplah bahagian kaki dengan memakai stokin agar tidak terdedah dan terlihat oleh mata-mata yang bukan muhrim.
  • Berwaspada dengan fesyen – Bukan tidak boleh bergaya mengikuti fesyen terkini, namun hati-hati dan pilihlah fesyen yang mematuhi syarak dan dapat menutup aurat dengan sempurna.

Aurat adalah kehormatan wanita yang perlu dipelihara. Allah SWT telah menjadikan wanita ini cantik dan menarik. Oleh yang demikian setiap wanita perlu mempertahankan kecantikan ini dan bersyukur di atas anugerah yang telah diberikan oleh Allah.

Islam amat menyayangi wanita. Sebab itul Islam mengariskan beberapa ketetapan dan panduan agar kemulian dan kehormatan wanita dijaga dengan baik. Islam tidak menghalang perkembangan fesyen tetapi fesyen perlu mengikut kehendak syarak agar kehormatan kaum hawa kekal terpelihara.