Tips sentuh hati dari kisah Nabi Yusuf a.s

Agama Hagnas 19-Sep-2020
dreamstime_s_178736981
Surah Yusuf, surah ke-12 dalam al-Quran © Nanangsholahudin | Dreamstime.com

Surah Yusuf iaitu surah ke-12 di dalam al-Quran mengandungi kisah yang sangat indah. Penuh dengan pengajaran atau ibrah khususnya dalam waktu-waktu susah. Kisah Nabi Yusuf a.s dalam surah Yusuf merupakan kisah yang paling panjang dalam al-Quran, tersangat sarat dengan pengajaran.

Surah Yusuf ini mengandungi pengakhiran yang menggembirakan. Ada cabaran-cabaran yang berat dialami oleh Nabi Yusuf a.s, klimaks bagaimana permulaan kebangkitan baginda menjadi menteri, dan kisah-kisah perjumpaan semula dengan ayah dan saudara yang dicintai.

Kisah ini juga mempamerkan kesabaran Nabi Yusuf a.s menghadapi waktu ujian, kebijaksanaan Nabi Yusuf membantu manusia, kepentingan menyimpan wang atau harta dan makanan dalam waktu-waktu sukar seperti kemarau dan sebagainya.

Satu lagi pengajaran dan ibrah yang wajar kita berikan perhatian dalam Surah Yusuf ialah tentang mendidik, mentarbiah atau berdakwah dalam waktu yang sukar.

Nabi Yusuf a.s mengambil peluang mendidik dan berdakwah apabila ditanya soalan oleh dua orang lelaki yang dipenjara bersama dengan Baginda. Dalam waktu yang ringkas, dalam penjara yang kehidupannya sukar, juga saat sebelum makan.

Nabi Yusuf a.s berjaya menyampaikan mesej tarbiah berkenaan akidah asas sebagai seorang Islam kepada dua lelaki tersebut secara ringkas dan penuh hikmah. Lihatlah kisah ini dalam ayat 36 hingga 43, surah Yusuf.

Hanya dalam 3 ayat iaitu ayat 38 hingga 40, Nabi Yusuf a.s menyampai mesej ringkas tetapi padat mengenai keimanan kepada dua lelaki tersebut.

“Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid – mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah Yusuf, ayat 38)

“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?” (Surah Yusuf, ayat 39)

“Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf, ayat 40)

SubhanAllah! Kita juga mampu mendidik keluarga dan masyarakat. Ikutlah contoh yang baik dari kisah Nabi Yusuf a.s ini. Semoga Allah SWT ikhlaskan niat kita dan teguhkan kesungguhan kita.