Tok Kenali: Wali Melayu yang mengasaskan majalah Pengasuh

Asia Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Tok Kenali wali Melayu yang mengasaskan majalah Pengasuh
Tok Kenali: wali Melayu yang mengasaskan majalah Pengasuh (foto: duduk, berserban) © tvtarekat.com

Mungkin kita biasa mendengar nama tokoh ini – Tok Kenali. Beliau dianggap sebagai seorang wali Allah SWT daripada kalangan orang Melayu. Sumbangannya dalam bidang dakwah Islam sangat terkenal di dunia Melayu Islam ini.

Selain daripada dikenali sebagai seorang ulama ulung, Tok Kenali juga dikenali ramai sebagai seorang tokoh pahlawan terbilang. Tetapi artikel ini akan menceritakan tentang tajuk yang mungkin tidak begitu diketahui umum.

Muhammad Yusof bin Ahmad di awal kehidupannya

Nama sebenar beliau ialah Muhammad Yusof bin Ahmad. Tok Kenali juga lebih dikenali dengan nama Awang sahaja. Beliau dilahirkan pada 3 April 1870 di Kampung Kenali, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

Beliau dikenali sebagai Tok Kenali kerana dinisbahkan kepada kampung tempat lahir dan tempat menetapnya. Keluarganya bukanlah sebuah keluarga yang senang dan bapanya hanya bekerja sebagai petani.

Pendidikan awal yang diterima oleh beliau adalah daripada datuknya sendiri. Datuknya bertanggungjawab mendidiknya membaca Al-Quran dan cara menulis.

Tok Kenali ke Mekah pada usia 17 tahun

Setelah itu, Tok Kenali menyambung pendidikannya di Masjid Muhammadi, Kota Bharu serta beberapa lokasi lain di sekitar Kota Bharu. Di peringkat ini, beliau menuntut ilmu berkaitan bahasa Arab dan juga ilmu-ilmu Islam.

Apabila usianya telah mencapai 17 tahun, Tok Kenali telah bertolak ke Kota Mekah bagi menyambung pelajarannya di sana. Di samping menyambung pelajaran, beliau juga telah menunaikan ibadah haji di sana.

Ketika di sana, Tok Kenali telah menuntut ilmu dengan salah seorang ulama besar Patani iaitu Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani. Beliau tinggal di Mekah dan berguru dengan Syeikh Ahmad selama 20 tahun.

Sumbangan hebat sebagai guru di Kelantan

Setelah Syeikh Ahmad meninggal dunia pada tahun 1908, Tok Kenali mengambil keputusan untuk kembali semula ke Kelantan. Beliau telah pulang ke Kelantan pada tahun berikutnya.

Setelah pulang dari Kota Mekah, Tok Kenali telah membuka sebuah pusat pengajian yang terkenal iaitu Pondok Kenali. Dalam masa yang sama, beliau menjadi guru yang bertanggungjawab mengajar agama Islam di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Pada ketika ini, Tok Kenali memberikan sepenuh tanggungjawab mendidik umat di kedua-dua pusat pengajian iaitu Pondok Kenali dan Masjid Muhammadi. Malah, hasil daripada didikannya, terlahirlah ramai ulama yang berpendidikan tinggi dan memainkan peranan di negara masing-masing pada ketika itu.

Antaranya di Tanah Melayu sendiri, Kemboja, Thailand dan juga Indonesia.

Penerbitan majalah Pengasuh

Tok Kenali juga adalah individu yang bertanggungjawab mengasaskan Majalah Pengasuh. Untuk pengetahuan anda semua, Majalah Pengasuh yang merupakan hasil idea beliau ini masih lagi diterbitkan sehingga ke hari ini.

Majalah Pengasuh edisi pertama telah dikeluarkan pada tahun 1918 dan merupakan majalah kedua tertua selepas Majalah Al-Imam. Ramai yang tidak tahu bahawa Tok Kenali sangat berbakat dan berminat dalam bidang kewartawanan.

Ini kerana Tok Kenali berpegang bahawa media massa seperti majalah dan surat khabar mampu menyatukan orang Melayu. Rentetan daripada itu, Majalah Pengasuh terhasil.

Hari Tok Kenali meninggal dunia

Tok Kenali telah meninggal dunia pada 19 November 1933 ketika berusia 65 tahun. Dikatakan bahawa pada hari kematiannya, jenazah beliau telah diziarahi oleh sekitar 2,500 orang dan telah disembahyangkan oleh lebih daripada 1,000 orang.

Almarhum Tok Kenali telah dikuburkan di kawasan perkuburan yang kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Kenali. Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan sedikit maklumat kepada kita mengenai biodata beliau.