Tourism Malaysia anjur pertandingan klip video muzik

Hiburan Hafiz Firdaus 22-Apr-2020
Pertandingan Tourism Malaysia © Mohamad Ridzuan Abdul Rashid | Dreamstime.com

Untuk mendorong rakyat Malaysia menggunakan waktu mereka secara positif dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tourism Malaysia atau Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) menganjurkan pertandingan klip video muzik dengan tema pelancongan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tourism Malaysia menerangkan pertandingan yang bermula dari 18 hingga 28 April menawarkan peluang unik kepada rakyat Malaysia untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka dalam mempromosikan pelancongan di Malaysia tanpa meninggalkan rumah mereka.

Tourism Malaysia menambah, penyertaan boleh dilakukan secara berkumpulan atau secara individu, dan peserta diberi tiga kategori pilihan: menyanyi, bermain alat muzik atau membuat sketsa mengenai pelancongan di Malaysia.

Setiap video muzik juga mesti menggunakan lagu-lagu ‘Cuti Cuti Malaysia’ atau ‘Visit Truly Asia Malaysia’. Lagu-lagu ini boleh dimuat turun dari laman web rasmi Tourism Malaysia.

Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Usaha ini di harap dapat mendorong rakyat Malaysia untuk mempromosikan produk pelancongan di Malaysia dengan menggunakan media sosial.

Tiga pemenang terpilih akan memenangi pakej lawatan tiga hari dua malam yang merangkumi tiket pergi balik, penginapan serta kendalian pindahan dan lawatan. Pemenang boleh memilih destinasi pelancongan mereka sendiri di Malaysia.

Untuk maklumat lebih lanjut termasuk terma dan syarat pertandingan, lawati laman web Tourism Malaysia di https://www.malaysia.travel/en/my